Suara Pelangai kembali bergema di DUN Pahang
Suara Pelangai kembali bergema di DUN Pahang
KUANTAN – Selepas kira-kira empat bulan kerusi DUN Pelangai kosong, minggu lalu kekosongan itu diisi secara rasmi.
Datuk Amizar Abu Adam yang memenangi PRK Pelangai pada awal Oktober lalu mengangkat sumpah sebelum sidang DUN Pahang bersidang di hadapan Speaker, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Amizar ketika perbahasan Belanjawan Pahang 2024 mengambil peluang merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat di Pelangai.
Dia turut membangkitkan isu yang perlu diberi perhatian kerajaan Pahang di kawasan diwakilinya itu.
Antara isu berkenaan adalah pelaksanaan projek Central Spine Road menghubungkan Simpang Pelangai dan pekan Karak.
Selain itu, dia juga meminta kemudahan bekalan elektrik dinaik taraf di beberapa kawasan dalam kawasan Pelangai.
“Begitu juga dengan inisiatif kerajaan Pahang – Skim Tanah Rakyat (STR) diharapkan dapat diperluaskan dan dilaksanakan di FELDA Chemomoi, Kemasul dan Kemahal.
“Dalam masa sama, kerja naik taraf dan memulihan bekalan seperti air bersih, liputan internet dan telekomunikasi, sistem perparitan antara yang menjadi perhatian saya untuk penggal pertama sebagai wakil rakyat,” katanya.
Amizar turut berhasrat memajukan lagi sektor agro pelancongan di kawasan Pelangai yang sememangnya berpotensi untuk menjadi tarikan utama pelancong ke kawasan itu.— SAHIH