SUAMI ISTERI LIMA ANAK BERDEPAN KESULITAN RAWAT ANAK BONGSU
SUAMI ISTERI LIMA ANAK BERDEPAN KESULITAN RAWAT ANAK BONGSU
JERANTUT : Sepasang suami isteri generasi kedua Felda dengan lima orang anak berdepan dengan ujian Allah apabila anaknya dilahirkan dengan jantung berlubang di Felda Kota Gelanggi Dua, di sini.
Pasangan itu, Mohd Nazrul Mat Zain, 39, dan Nurul Wahida Kamarudin, 36 bapa dan ibu kepada Nurul Aishah yang berusia lebih sebulan itu dimaklumkan oleh doktor Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh mengalami jantung berlubang selepas dia bersalin.
Selain dibebani penyakit anak bongsunya, tekanan kesusahan hidup juga dirasai oleh pasangan yang tinggal di sebuah rumah yang sempit, binaan yang telah uzur, persekitaran yang kotor termasuk kekurangan kemudahan tertentu.
Nurul Wahida berkata, apabila dimaklumkan keadaan anak bongsunya itu, dia sedih dan tidak terucap kata-kata dengan hanya reda dengan ujian Allah buat kali kedua kerana sebelum ini anak ketiganya Nurul Shafiera yang berusia 10 tahun juga menanggung derita yang sama dan sudah menjalani pembedahan pada tahun lalu.
“Kemungkinan kami akan berulang alik ke Hoshas, Temerloh untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan susulan bayi ini sebelum ke Institut Jantung Negara (IJN),” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut hari ini.
“Saya dimaklumkan pembedahan akan dilakukan setelah usia bayi ini (Nurul Aishah) besar nanti di IJN, Kuala Lumpur juga kemungkinan melibatkan kos hampir RM35,000 seperti dialami pembedahan Nurul Shafiera pada usia 9 tahun,” katanya.
Katanya, walaupun kos pembedahan Nurul Shafiera pada tahun lalu ditanggung menerusi subsidi oleh kerajaan, tetapi dia dan suaminya berdepan kesulitan wang tambahan rawatan, belanja berulang alik sebelum pembedahan, belanja ketika tinggal di IJN dan perbelanjaan sampingan.
“Kesusahan cukup terasa apabila kami tinggal di rumah yang sempit dan binaan yang tidak sempurna kerana suami bekerja sendiri di Felda ini hanya memperoleh pendapatan antara RM600 hingga RM800 sebulan.
“Pendapatan suami hanya sekadar belanja keperluan dapur pun tidak mencukupi termasuk berjimat untuk anak bersekolah mana mampu membesarkan rumah dan tinggal di persekitaran yang selesa,” katanya.
Nurul Wahida berharap pihak kerajaan dan dermawan dapat menyumbangkan bantuan untuk keluarganya bagi meringankan kesusahan khususnya keutamaan belanja pembedahan anak, persekolahan dan membaik pulih kediaman mereka.
Orang ramai dan para dermawan yang berhasrat untuk beramal jariah di bulan Ramadan bagi meringankan kesusahan keluarga ini bolehlah menghubungi Nurul Wahida Kamarudin di talian 013- 7154171 atau terus ke akaun Maybank (Nurul Wahida) bernombor 156141469872.