SUAMI ISTERI DIBELASAH SELEPAS TANYA KASUT
CHUKAI: Gara-gara bertanyakan mengenai kehilangan kasut, suami isteri cedera dipukul dengan batu bata dan ditumbuk dalam satu kejadian di Kampung Padang Kubu, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari, pasangan berkenaan pergi ke rumah jiran mereka yang bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk bertanyakan mengenai kehilangan kasut mereka..
Menurut sumber, lelaki berusia 35 tahun yang sedang berehat di rumahnya didatangi pasangan berkenaan yang bertanya di mana anaknya lelaki tersebut meletakkan kasut mereka.
Katanya, suspek yang tidak berpuas hati dengan pertanyaan yang dikatakan seolah-olah menuduh anaknya mencuri menghampiri mangsa lelaki berusia 27 tahun lalu menumbuk mukanya beberapa kali.
“Suspek yang masih tidak berpuas hati mengambil batu bata yang ada dan terus memukul belakang kepala termasuk leher mangsa sehingga batu bata itu pecah.
“Isteri mangsa yang berada di tempat kejadian cuba menghalang perbuatan suspek itu, namun dia turut dipukul ditangannya menggunakan batu bata yang sudah pecah itu.
“Suspek yang masih tidak berpuas hati berterusan memukul pasangan itu sehingga mereka mengalami kecederaan di kepala dan leher sebelum satu laporan polis dibuat di Balai Polis Ayer Puteh untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, suspek berjaya ditahan di rumahnya kira-kira jam 6 petang semalam.
Katanya, pihaknya turut merampas dua barang kes iaitu satu batu bata yang masih elok dan satu lagi batu bata yang pecah yang dipercayai digunakan untuk mencederakan kedua-dua mangsa.
“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya,” katanya.