STRUKTUR BINAAN KIOSK RUNTUH
STRUKTUR BINAAN KIOSK RUNTUH
PETALING JAYA: Dua pekerja sebuah kiosk menjual burger cedera parah selepas ditimpa peti ais dan struktur binaan yang runtuh di Taman Medan di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, dua lelaki masing-masing berusia 24 dan 27 tahun patah kaki kiri dan kanan selepas ditimpa runtuhan yang berlaku di bahagian belakang kios milik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Saksi kejadian yang juga peniaga, Zamri Ghazali, 32, berkata, sebelum kejadian dia bersama isteri dan adik ipar sedang menguruskan makanan untuk digoreng di kios miliknya yang terletak bersebelahan dengan kios burger berkenaan.
“Secara tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat dari kios bersebelahan. Dalam beberapa saat struktur kios itu runtuh dan meranapkan struktur bahagian belakang.
“Pada masa sama, kami terdengar jeritan salah seorang pekerja meminta tolong. Kami bergegas ke kiosk terbabit untuk menghulurkan bantuan,” ujarnya ketika ditemui KOSMO! Online hari ini.
GAMBAR IHSAN FACEBOOK AHMAD AKHIR
Sebaik tiba di kiosk itu, jelasnya, dua pekerja sedang menahan kesakitan apabila kaki mereka tersepit di antara peti ais dan struktur binaan yang runtuh.
“Kami berusaha menarik keluar kedua-kedua sebelum mereka dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Kejadian ini kali pertama berlaku di sini sejak kios ini dibina pada tahun 1999, kami percaya struktur binaan yang tidak kukuh menyebabkan kejadian ini berlaku,” ujarnya.
Ekoran kejadian itu, deretan lima kios terpaksa ditutup pihak berkuasa bagi membolehkan kerja-kerja siasatan dan membaik pulih dilaksanakan.