STOP berpolitik, ayuh buat kerja masing-masing, PRU dan PRN sudah habis
STOP berpolitik, ayuh buat kerja masing-masing, PRU dan PRN sudah habis
PILIHAN Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah selesai dan ayuh yang berjaya terus buat kerja demi negara Malaysia yang tercinta.
Usah lagi hendak bermain politik dan jangan lagi gugat sana sini, tiba masa bekerja dan membangunkan negara dan negeri.
Itu kesan buruknya apabila PRU dan PRN diasingkan kerana memakan belanja besar tambahan, kerana di enam negeri yang mengalami PRN baru-baru ini dipercayai membelanja besar seperti PRU dahulu.
Pengundi pula yang tinggal jauh dari tempat mengundi akan pulang mengundi untuk sekadar mengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja, sedangkan sepatutnya mereka mengundi dua dalam satu iaitu Parlimen dan DUN semasa PRU.
Indikatornya, peratusan keluar mengundi rendah kerana pengundi yang duduk jauh memikirkan ‘modal’ untuk balik mengundi khususnya yang jauh dan PRN berlaku di tengah bulan, gaji belum keluar lagi.
Paling buruk sekali, selepas PRU, berpolitik tidak habis-habis sehingga PRN tamat pada 12 Ogos baru-baru ini. Itu pun berlum tentu lagi, mungkin ada yang nak main politik lagi.
Apakah negara ini perlu berpolitik sepanjang masa dengan sumpah seranah, fitnah, memperolok-olokkan orang ramai terutama pengundi di kawasan tertentu? Tiada kerja lain hendak dibuat?
Diharapkan selesai PRN ini, semua yang berjaya buat kerja hakiki masing-masing sebagai wakil rakyat, tidak perlu lagi ‘berkempen’ , cukuplah. Tunggulah 5 tahun lagi.
Ada pihak yang mahukan PMX letak jawatan adalah satu permainan membahayakan negara yang kini sudah menampakkan tanda positif kehadiran pelabur asing turut bakal membuka peluang pekerjaan kepada golongan pencari kerja muda.
Kalau PMX gugur, mungkin pelaburpun angkat kaki dan rakyat akan terkulat-kulat dan bagi yang sedang berangan-angan untuk mendapat kerja akan terus kecewa.
Kalau nak tukar PM sekalipun tunggu lah pembubarkan parlimen untuk PRU ke-16 nanti. Kalau nak ganti PMX sekarang ini belum tentu yang menggantikannya akan berjaya membawa negara ke landasan yang betul.
Petanda perubahan kehendak pengundi di seluruh negara pada masa ini sudah ada corak yang tidak menurut sahaja.
Contoh boleh dilihat, seorang tokoh politik tanah air yang pernah memegang jawatan menteri tewas di tangan pemain bola sepak.
Kepada UMNO, susun semula perjawatan dari akar umbi, kerana tewasnya calon UMNO di banyak tempat adalah salah sendiri kerana tidak membentuk generasi muda yang wibawa di kawasan bahagian masing-masing. Pupuklah muka baru yang muda serta berkelibar.
Kepada Pakatan Harapan (PH), cari cara mendekati hati rakyat di tempat atau negeri masing-masing untuk mempengaruhi hati pengundi dan penduduk tempatan.
Lain-lain parti perlu juga buat kerja dan susun semula jentera, jangan jadi penumpang dalam komponen parti tertentu.
Tema Hari Kebangsaan 2023, “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”
Ayuh, cukup berpolitik, buat kerja membangunkan negara.
Pemerhati tanpa parti.