STOK BANTUAN BANJIR TIDAK DIGUNA, DIJUAL SEMULA
KUANTAN : Stok barang bantuan banjir di Pahang yang tidak habis digunakan akan dijual semula kepada pembekal dilantik untuk dimasukkan ke dalam Tabung Kumpulan Wang Amanah Malapetaka Negeri, bermula tahun ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebelum tahun 2019, semua stok barang bantuan banjir yang tidak digunakan diagihkan kepada komuniti setempat dan golongan sasar secara sumbangan yang diuruskan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah.
“Bermula tahun ini sekiranya ada stok yang tidak habis atau tidak berlaku banjir, stok yang tidak digunakan akan dijual semula (buy back) kepada pembekal yang telah dilantik dengan kadar 30% daripada harga asal.
“Hasil daripada jualan itu akan dimasukkan ke dalam Tabung Kumpulan Wang Amanah Malapetaka Negeri Pahang,” katanya menjawab soalan Sim Chon Siang (PH-Teruntum) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-14, di sini.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM2.96 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada tahun ini bagi tujuan meningkatkan infrastruktur dalam usaha mengatasi banjir.
“Bagi tujuan sama, kerajaan pusat juga telah memperuntukkan sebanyak RM58.18 juta pada tahun ini.
“Peruntukan tersebut digunakan kerja-kerja pemuliharaan sungai dan hakisan tanah dan program amaran banjir, pengukuhan integriti struktur serta meningkatkan keselamatan empangan.
“Selain itu ia juga bagi penyelenggaraan kolam takungan banjir, kerja-kerja kecemasan sebelum dan selepas banjir; dan membina tebatan banjir seperti projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Pekan, Lembah Bertam dan Sungai Belat.
“Kerajaan negeri menerusi Tabung Kumpulan Wang Amanah Malapetaka Negeri memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk keperluan perbelanjaan pangkalan hadapan, pada tahun ini,” katanya.