STADIUM AKAN DISANITASI UNTUK TONTON BOLASEPAK
STADIUM AKAN DISANITASI UNTUK TONTON BOLASEPAK
MARAN: Semua stadium akan disanitasi untuk nyahkuman demi keselamatan penonton sebelum ianya mula dibuka buat penyokong bola sepak yang ingin menonton Liga Super atau Liga Malaysia bermula pada 1 April ini, seperti diumumkan oleh Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Ismail Abd Mutalib berkata, ia sebagai langkah pencegahan awal mengekang penularan covid-19 untuk memutuskan rantaian penularan wabak itu.
Katanya, proses itu akan dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merangkumi kawasan sekitar stadium yang digunakan bagi penyemburan sanitasi tersebut.
“Apa juga lokasi yang mahu dilakukan pelbagai acara, pastikan supaya bersih dan semburan nyahcemar perlu dibuat, pihak bomba akan main peranan sebelum membenarkan penonton berada di stadium.
“Selain itu, penyokong dan penonton yang hadir agar sentiasa mematuhi perlaksanaan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan di lokasi berkenaan dan sekitarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media di Program Malaysia Prihatin Norma Baharu Pendidikan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID), Maran, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Wan Muhammad Zaidi Wan Isa dan Ahli Dewan Undangan Kawasan Luit, Mohd Sofian Abdul Jalil.
Bermula pada 1 April ini, dua perlawanan akan dibenarkan untuk menilai keberkesanan protokol pengurusan penonton dan stadium tempat perlawanan diadakan.
“Bagaimanapun, kebenaran itu bersifat percubaan dan ia boleh menjadi keputusan kekal atau ditarik semula, bergantung kepada pemantauan yang dilakukan,” katanya.
Katanya, bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat, hanya 10 peratus dari kapasiti stadium atau 2,000 penonton dibenarkan dan 25 peratus atau 8,000 orang dibenarkan bagi kawasan PKP Pemulihan.