“SST BUNUH RAKYAT!” – PARTI BERSATU LANCAR KEMPEN ‘HARI HITAM’
“SST BUNUH RAKYAT!” – PARTI BERSATU LANCAR KEMPEN ‘HARI HITAM’
KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini melancarkan kempen maya digelar “Hari Hitam dan Gelap Negara” sebagai simbolik bantahan terhadap pelaksanaan kadar baharu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang mula dikuatkuasakan bermula 1 Julai 2025 oleh kerajaan Madani.
Tepat jam 1.07 tengah hari tadi, semua akaun media sosial rasmi milik negeri, bahagian, cawangan dan dewan parti itu termasuk penyokong diminta menukar gambar profil dan muka depan (cover photo) kepada warna hitam serta memuat naik kenyataan mengecam pelaksanaan SST.
Arahan itu turut tular di pelbagai kumpulan WhatsApp dan Telegram rasmi parti sejak pagi tadi, dengan naratif utama berbunyi: “Cukai SST: Mangsakan Rakyat! Kami berkabung!”
Menurut kenyataan ringkas yang dikeluarkan, tindakan kerajaan menaikkan beban cukai ketika rakyat masih berdepan tekanan kos sara hidup dianggap sebagai tidak berperikemanusiaan dan zalim terhadap golongan berpendapatan rendah.
“Ini isyarat jelas bahawa kerajaan Madani telah gagal memahami derita rakyat. Kami tidak akan berdiam diri,” kata satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi Bersatu Wilayah Persekutuan.
Tinjauan mendapati beberapa halaman rasmi Bersatu di negeri-negeri serta sayap Armada dan Srikandi turut menyahut seruan kempen dengan penukaran visual bertema gelap dan slogan menentang SST.
Di media sosial, ramai netizen turut menyuarakan rasa tidak puas hati dengan menyifatkan kenaikan kadar cukai itu sebagai ‘penghinaan kepada rakyat’ yang sedang bergelut dengan harga barang dan perkhidmatan yang terus meningkat.
Setakat ini, belum ada maklum balas rasmi daripada pihak kerajaan berhubung kempen maya berkenaan.-SAHIH