Sri Pahang FC Undur Diri Musim 2025/2026, Fokus Kuatkan Struktur Dalaman
Sri Pahang FC Undur Diri Musim 2025/2026, Fokus Kuatkan Struktur Dalaman
KUANTAN – Sri Pahang FC membuat kejutan apabila mengumumkan penarikan diri daripada saingan Liga Super musim 2025/2026 bagi memberi tumpuan kepada penstrukturan semula pasukan demi kelangsungan masa depan kelab.
Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Sri Pahang FC memaklumkan bahawa keputusan berat itu diambil kerana pihak pengurusan memerlukan masa untuk menambah baik dan memperkukuhkan struktur dalaman kelab.
“Langkah ini diambil bagi menjamin masa depan yang lebih cerah untuk Sri Pahang FC. Kami percaya proses pemerkasaan struktur dalaman sangat penting sebelum kembali bersaing di peringkat tertinggi,” menurut kenyataan itu.
Kelab yang sinonim dengan jolokan Tok Gajah itu turut menyatakan harapan agar diberi ruang menyertai semula pembangunan bola sepak di negeri ini pada masa akan datang.
Mereka turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat sepanjang perjalanan Sri Pahang FC dalam kancah bola sepak negara.
“Pihak Sri Pahang FC ingin mengucapkan terima kasih kepada penganjur, pihak berkuasa, penaja, penyokong serta pengikut setia Sri Pahang FC. Sokongan anda semua amat dihargai. Semoga kita dapat berjumpa semula pada musim hadapan.”
Penarikan ini pastinya meninggalkan kesan kepada penyokong setia pasukan yang sudah lama berdiri teguh bersama skuad kebanggaan Pahang itu.
Namun begitu, langkah drastik ini dilihat sebagai satu tindakan berani dalam usaha membina semula kekuatan pasukan yang mungkin menjadi pencetus kebangkitan Sri Pahang FC pada masa akan datang.
Musim ini bakal menyaksikan Liga Super tanpa kehadiran salah satu nama besar bola sepak tanah air – satu kehilangan yang pasti dirasai ramai.-SAHIH