SRI LANKA REKOD KEMATIAN GAJAH TERTINGGI DI DUNIA
COLOMBO: Sri Lanka merekodkan kematian gajah tertinggi di dunia selepas lebih 400 haiwan itu mati di negara berkenaan tahun ini.
Pakar haiwan meletakkan kesalahan itu berpunca daripada konflik manusia-haiwan dan usaha pemuliharaan yang dianggap masih tidak mencukupi.
“Sri Lanka merekodkan jumlah kematian gajah tertinggi di dunia. Pada tahun ini, terdapat 409 kematian gajah berbanding 121 kematian manusia diserang haiwan itu,” kata pakar haiwan dan Ketua Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan Gajah, Dr Prithviraj Fernando kepada agensi berita Arab News, dipetik dari BH Online.
Katanya, jumlah kematian itu mencatatkan ‘peningkatan drastik’ berbanding tahun lalu, apabila Sri Lanka melaporkan 315 kematian gajah berbanding 95 kematian manusia diserang haiwan itu.
Bercakap pada sidang media baru-baru ini, Menteri Pemuliharaan Hidupan Liar dan Hutan Sri Lanka, C B Rathnayake, berkata beliau bertekad untuk mengakhiri krisis itu.
“Jika saya gagal dalam usaha ini, saya akan meletak jawatan daripada portfolio saya,” katanya.
Rathnayake berkata, kerajaan Sri Lanka akan mengeluarkan peraturan baharu untuk menyelesaikan masalah itu dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang melakukan kesalahan.
Dr Fernando yang mengetuai audit khas terhadap isu itu atas arahan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, berkata tanah dan jajahan wilayah adalah isu di sebalik masalah yang semakin meningkat.
“Lebih 42 peratus kawasan negara ini didiami gajah dan manusia. Gajah ini datang ke penempatan penduduk untuk mencari makanan dan memakan tanaman di ladang.
“Petani bertindak balas terhadap kemusnahan yang dilakukan dengan cuba membunuh haiwan itu dan haiwan itu membalasnya dengan cara yang mendatangkan maut,” katanya.
Fernando berkata, adalah penting untuk badan bukan kerajaan (NGO) turut serta dalam usaha pemuliharaan, ketika Jabatan Hidupan Liar dan Pemuliharaan (WCD) melihat kepada kepentingan haiwan.
“Kerajaan mengambil langkah memulihara gajah liar dengan mengikat mereka di kawasan yang dilindungi, namun NGO perlu mengambil langkah melindungi manusia daripada haiwan ini yang memusnahkan sumber pendapatan mereka, seperti tanaman,” katanya.