SOP BANJIR DI PAHANG DITETAPKAN
BAGI MENGEKANG PENULARAN COVID-19 DI PPS
KUANTAN : Mangsa banjir yang berpindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri Pahang akan
disaring menggunakan borang saringan COVID-19 terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk ke PPS.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, mereka yang tidak bergejala akan diberikan pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan risalah norma baharu sebelum dibenarkan masuk ke PPS.
Beliau berkata, sementara bagi mangsa banjir yang bergejala dan berisiko, mereka akan dirujuk ke klinik kesihatan atau hospital berdekatan bagi menjalani ujian Real–Time Reverse Transcription–Polymerase Chain Reaction (RT–PCR) bagi mengesan COVID-19.
“Mangsa banjir yang bergejala dan tidak berisiko atau pesakit dalam pemantauan (PUS) serta pesakit bawah siasatan (PUI) pula akan ditempatkan dan diberi rawatan di ruang isolasi di setiap PPS.
“Kita tidak mahu mangsa banjir akan menjadi mangsa COVID-19 pula ketika berada di PPS. Disebabkan itu Prosedur
Operasi Standard (SOP) telah disediakan kerajaan negeri yang mesti dipatuhi ketika berada di PPS.
“Antaranya mereka perlu mengikut SOP yang disediakan seperti memakai pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.
“Kubikel atau penempatan mereka juga dijarakkan antara satu hingga tiga meter antara satu sama lain agar penularan tidak merebak kepada keluarga lain, ” katanya selepas menyampaikan Taklimat Persediaan Menghadapi Banjir Tahun 2020/2021 negeri kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah
Shah di bilik mesyuarat Istana Abdulaziz, di sini, hari ini.
Beliau berkata, bekalan makanan akan diberikan secara berbungkus kepada penduduk yang ditempatkan di PPS.
“Mangsa banjir juga akan diberikan pendidikan kesihatan ketika berada di PPS selain disinfeksi bersasar juga akan
dilakukan di setiap PPS.
“Sebanyak 652 kawasan berisiko banjir di negeri itu telah dikenalpasti,” katanya.
Justeru katanya, sebanyak 647 PPS terdiri daripada sekolah, balairaya, dewan orang ramai, pusat komuniti, masjid dan surau disediakan bagi menempatkan 153,020 mangsa banjir.
“Kerajaan negeri juga menyediakan 448 kenderaan penyelamat, 198 kenderaan air, 246 helipad dan 118 pangkalan hadapan yang menempatkan bekalan makanan, ” katanya.