SOLAT SUNAT TARAWIH DIBENAR RAMADAN INI
SOLAT SUNAT TARAWIH DIBENAR RAMADAN INI
KUANTAN: Aktiviti solat tarawih berjemaah di masjid dan surau seluruh Pahang adalah dibenarkan sepanjang bulan Ramadan yang disambut pada bulan ini berkuatkuasa bermula 12 April hingga 12 Mei 2021.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain solat sunat tarawih, umat Islam juga dibenarkan melaksanakan amalan ibadah lain termasuklah tazkirah, tadarus dan khatam Al-Quran, qiamulail, moreh dan sahur.
Beliau berkata, kesemua aktiviti tersebut boleh dilaksanakan di semua masjid dan surau dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan Negeri selain pemantauan berkala yang akan dilakukan oleh pihak berkuasa, lapor PAHANGMEDIA.
“Solat tarawih akan bermula dengan solat Isyak berjemaah dan solat sunat tarawih, witir, wirid, tahlil dan doa adalah dibenarkan manakala jamuan makan seperti iftar, moreh dan sahur perlu dibungkus mengikut SOP yang telah ditetapkan.
“Semua perolehan dan penyediaan makanan berbungkus hendaklah dibuat mengikut piawaian dan syarat penyediaan makanan yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan penyediaan makanan secara gotong-royong adalah dilarang sama sekali,” katanya.
Tambahnya, semua aktiviti ibadah juga perlu dilakukan di kawasan lokaliti masing-masing dan jumlah jemaah adalah berdasarkan kapasiti ruang solat dengan kawalan pihak masjid dan surau.
“Manakala imam dari luar negeri Pahang termasuk dari pondok dan maahad tahfiz, penyertaan pelajar sekolah berasrama, jemaah di bawah umur tujuh tahun, bermalam di masjid dan surau, tazkirah tarawih dan perkumpulan jemaah adalah tidak dibenarkan sama sekali.
“Pihak berkuasa akan menjalankan pemantauan mengejut ke mana-mana masjid dan surau serta berhak membatalkan kebenaran melakukan aktiviti ibadah,” katanya.
Pihak masjid dan surau bertanggungjawab memastikan pematuhan SOP di premis masing-masing bagi mengelakkan pembatalan kebenaran perlaksanaan aktiviti keagamaan di sepanjang Ramadan nanti.
Pembatalan kebenaran aktiviti di masjid dan surau boleh dilakukan sekiranya gagal mematuhi SOP dan mengawal jemaah, jumlah jemaah melebihi kapasiti serta aktiviti dilakukan di luar waktu yang dibenarkan.