Sokongan pengundi Cina, India kekal bersama calon BN
Sokongan pengundi Cina, India kekal bersama calon BN
BENTONG – Calon BN, Datuk Amizar Abu Adam yakin akan mendapat sokongan penuh pengundi Cina dan India di Pelangai pada hari pengundian 7 Oktober nanti.
Beliau berkata, setakat ini respon yang ditunjukkan oleh pengundi Cina dan India masih setia bersama BN.
“Penerimaan di kawasan kaum India dan alhamdulillah penerimaan sangat baik dan mereka teruja menerima kehadiran (kita).
“…(Masyarakat Cina) mereka ini sangat-sangat teruja penerimaan kehadiran kita terhadap mereka dan mereka menyatakan sokongan 100 peratus kepada calon BN.
“Itu (sokongan) adalah satu perkara yang sangat baik,” katanya ketika ditemui ketika berkempen bersama masyarakat India di Sungai Gapoi, Bentong dekat sini, hari ini.
PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Johari Harun dalam nahas pesawat ringan yang di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Okt sebagai hari pengundian bagi memilih wakil rakyat baru kawasan itu.
Pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, PN dan Bebas.
Pada pilihan raya umum lalu Allahyarham Johari memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).
Sementara itu, Amizar berkata kempennya pada PRK DUN Pelangai ini memberi tumpuan kepada 3P iaitu pendidikan, perumahan dan pekerjaan.
Katanya 3P ini merupakan perkara asas kepada kesejahteraan masyarakat.
Mengulas mengenai peringatan Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail supaya jentera BN jangan leka.
Amizar berkata dalam setiap pilihan raya semestinya jentera perlu berwaspada dengan setiap taktikal pihak lawan.
“Setiap pilihan raya kita tak tahu apa serangan-serangan yang berlaku…(jentera) mesti siap siaga 24 jam, sebab kita tak tahu apa yang berlaku. Strategi masing-masing,” katanya lagi.
Selain itu Amizar berkata beliau akan melancarkan manifestonya dalam masa terdekat.- SAHIH