Smk Pulau Tawar akan dipindahkan ke tempat selamat
Smk Pulau Tawar akan dipindahkan ke tempat selamat
JERANTUT – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Tawar yang terletak kira-kira 500 meter dari Sungai Pahang di kampung Pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau tidak sesuai lagi sebagai tempat pembelajaran dan wajar dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.
Sekolah tersebut acap kali ditenggelami air setiap kali banjir menyebabkan guru serta kakitangan SMK Pulau Tawar malahan penduduk di pesisir Sungai Pahang kampung tersebut dihantui musibah banjir.
Kejadian banjir yang terburuk dalam sejarah sekolah itu dilaporkan pernah berlaku pada 1971, 1987, bah merah 2014, pada tahun 2015, malahan tahun ini sebanyak dua kali, iaitu pada bulan Januari dan Disember menyebabkan kerosakan banyak harta benda yang menelan kerugian hampir jutaan ringgit.
Wan Rosdy diiringi wakil rakyat setempat, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris, pentadbir dan pengurusan sekolah, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat bergotong-royong membersihkan persekitaran sekolah, bilik darjah, asrama dan lokasi yang ditenggelami banjir berlaku pada 18 Disember lalu.
“Hal ini dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah dan Pejabat Daerah di sini mengenai rentetan kejadian banjir serta memberikan cadangan sekolah ini wajar dipindahkan dengan pembinaan bangunan baharu ke tempat selamat.
“Kerajaan Pahang tidak ada masalah untuk menyediakan tapak malah sudah ada pun kawasan di Kampung Bukit Rang yang dicadangkan oleh wakil rakyat di sini (Nazri) dan saya (kerajaan negeri) bersetuju sekiranya ada peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk projek sekolah baharu ini,” katanya di SMK Pulau Tawar dekat sini semalam.
Sempena program itu juga, Wan Rosdy turut menerima 200 kit berbentuk bantuan makanan kering serta barang sanitasi daripada Pengerusi Malaysia Medical Association (MMA) Bahagian Pengamal Perubatan Swasta, Dr Balachandran S Krishnan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Jerantut.
Menurut Wan Rosdy, fenomena tersebut tidak boleh dibiarkan berterusan kerana boleh membantutkan pembelajaran pelajar apabila menyaksikan musim pejur diiringi musibah banjir, mereka (pelajar) terpaksa bercuti panjang dan perlu membersihkan sekolah semula apabila air surut malahan tekanan kos kerugian yang banyak termasuk kerja pemulihan pasca kejadian ini.
“Saya berasa sedih, tetapi reda dengan ujian Allah SWT kerana tahun ini sahaja sekolah ini sudah dua kali dilanda banjir yang dahsyat, iaitu pada awal tahun ini dan mulai 18 Disember lalu,” katanya.
Sementara itu, Nazri yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang berkata, tapak untuk bangunan baharu sebenarnya sudahpun disediakan di Kampung Bukit Rang, iaitu terdapat lokasi penempatan penduduk yang lebih selamat berdekatan Jalan Jerantut ke Maran.
“Kerajaan negeri dan Pejabat Daerah di sini sudah menyediakan tapak menerusi perancangan membina sekolah baharu dan tinggal lagi mengharapkan kelulusan peruntukan Kerajaan Persekutuan.
“Harapan penduduk Pulau Tawar supaya projek bangunan baharu direalisasikan di Bukit Rang tanpa mengambil masa yang lama kerana kita tidak mampu lagi menanggung kerugian yang banyak setiap kali banjir melanda termasuk gangguan pengajaran dan pembelajaran guru dan pelajar kawasan ini,” katanya.-SAHIH