SKUAD FUTSAL CARI RENTAK
Berita Sukan
SKUAD FUTSAL CARI RENTAK
KUANTAN: Skuad futsal kebangsaan berhadapan cabaran untuk kembali cergas sebelum beraksi di pentas antarabangsa setelah hampir sembilan bulan tidak menjalani latihan ekoran wabak COVID-19.
Ketua Jurulatihnya, Chiew Chun Yong berkata masalah itu bagaimanapun tidak hanya membabitkan skuad kendaliannya, tetapi turut menjejaskan pasukan lain di Asia dan seluruh dunia.
‘Kita sepatutnya ada dua kejohanan iaitu Kejuaraan Futsal Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tahun ini, namun disebabkan COVID-19 ia terpaksa ditangguhkan ke tahun depan.
“Memangnya kita akui bahawa cabaran terbesar pasukan ketika ini ialah para pemain sudah lama tidak berlatih, lebih malang tiada liga futsal pada tahun ini.
“Maklumat terkini diperoleh pihak kami, Kejohanan AFF hanya akan diadakan pada 23 Januari 2021… tetapi ia masih bergantung kepada perkembangan kes COVID-19 di Malaysia dan negara Asia lain,” katanya pada sidang media Kursus Kejurulatihan Tahap Dua di sini, hari ini.
Seramai 14 peserta terdiri daripada jurulatih dan pemain menghadiri kursus yang bermula hari ini hingga Selasa depan.
Chun Yong berkata, dia sedang merancang pelan B bagi memastikan skuad kebangsaan berada dalam prestasi terbaik sekiranya masalah COVID-19 di negara ini berlanjutan.
“Kita mungkin akan mengadakan perlawanan atau kejohanan kecil bagi mendapatkan semula rentak dan stamina pemain.
“Paling penting ia mestilah mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
- BERNAMA