SKSD SAMBUT DENGAN PAKAIAN TRADISIONAL
Seramai 146 murid dan 17 guru Sekolah Kebangsaan Sungai Dua (SKSD), Bentong menyambut Hari Malaysia dengan penuh warna-warni dan pakaian lengkap Melayu tradisional, hari ini.
Guru Besar sekolah itu, Siti Anita Kasmuri, berkata tahun ini SKSD memilih tema sambutan pakaian tradisional Melayu untuk mengembalikan nostalgia, khususnya kepada generasi muda di sekolah itu.
“Pakaian tradisional Melayu memang mudah dan cantik dipakai, tetapi ketika membincangkan tema sebelum majlis diadakan, semua guru terpinga-pinga dengan jenis pakaian apa yang sesuai untuk digayakan… malah ada yang melayari internet untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai cara pemakaian tradisional yang betul dan lengkap.
“Paling sukar adalah bagi guru wanita untuk memperagakan pakaian seperti ini, malah ada yang tersilap apabila pakaian dikenakan menjadi pakaian petani perempuan di sawah dan sebagainya… Alhamdulillah, masing-masing dapat juga memperagakan pakaian tradisonal Melayu di majlis kali ini,” katanya.
Penyelaras majlis, Muhammad Syaraff Alwi, berkata ketika pihak sekolah memutuskan untuk memilih pakaian tradisional Melayu sebagai tema majlis sambutan, pada awal agak sukar memikirkannya, tetapi perbincangan diadakan menjelang majlis, selain membuat kajian melalui internet banyak membantu melancarkan sambutan.
“Hanya guru sahaja yang berpakaian tradisonal memandangkan majoriti murid sekolah ini adalah anak-anak Orang Asli dari Suku Kaum Temuan… selain itu, satu ceramah ringkas berkaitan sejarah kemerdekaan negara turut disampaikan kepada murid,” katanya.
Syaraf juga meniup Tetuang sebagai simbolik bagi menandakan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2020 berakhir.