SKPI pelihara ikan dalam longkang
Foto atas : Hazi Kadir menerangkan kepada murid mengenai manfaat yang diperoleh daripada projek Kolam Aliran Lestari Gemilang yang dilaksanakan sejak awal Januari 2022.
SKPI pelihara ikan dalam longkang
PELABUHAN KLANG – Sekolah Kebangsaan Pulau Indah (SKPI), Jalan Dato’ Haron, Pelabuhan Klang, menjadikan longkang bersebelahan pejabat pentadbiran sebagai projek Kolam Aliran Lestari Gemilang iaitu berkonsepkan pendidikan kepada murid untuk pembelajaran berkaitan habitat dan persekitaran.
Projek yang dicetuskan oleh Guru Besar SKPI, Hazi Kadir dimulakan pada awal Januari tahun 2022 itu dan secara tidak langsung membantu dalam memperkasakan pembelajaran berkaitan bidang sains, teknologi, enginering dan matematik (STEM) apabila murid akan mempelajari ilmu matematik dalam pembabitan kos makanan dan jualan.
“Longkang yang bersaiz 6 meter panjang, lebar dan dalamnya 0.3 meter diubahsuai menjadi kolam ikan dengan dilengkapi binaan air terjun yang menarik bagi mewujudkan suasana seperti sebuah taman.
“Guru serta ibu bapa amat menyokong projek itu dan menjadi sebutan dalam kalangan mereka apabila longkang yang berfungsi sebagai kolam yang berjaya menternak beberapa jenis ikan seperti tilapia merah, tilapia hitam, kaloi merah, kaloi Sabah dan ikan koi,”katanya.
Katanya, longkang berkenaan tetap berfungsi seperti biasa apabila hujan turun ia akan mengalir bagi mengeluarkan air lebihan dan untuk mengelak ikan yang diternak keluar, jaring penyekat kekal dibina dan jika perlu dikeringkan air kerana injap perlepasan boleh dibuka secara manual.
“Idea saya juga tercetus selepas membaca kisah seorang remaja di Thailand yang menjadi jutawan dalam perusahaan ternakan ikan hiasan air tawar dan projek ini saya berharap dapat membantu mempersiapkan murid SKPI bagi kehidupan mendatang.
“Bukan suatu mustahil ternakan ikan air tawar akan menjadi pilihan kerjaya yang menguntungkan sepertimana berjaya dicapaikan sesetengah orang dan projek ini sudah pasti mencetuskan idea yang baik kepada murid,” katanya.
Hazi berkata, bagi persepsi dalam kalangan warga sekolah projek kolam berkenaan sesuatu yang luar biasa dan menjadi kebanggaan apabila berfungsi sebagai pusat pembelajaran berkaitan topik pelajaran yang dipelajari murid selain menjadi tumpuan pelawat termasuk dari luar negara.
“Ramai pelawat yang datang tertarik dengan konsep itu kerana objektif ternakan bertujuan pendidikan dengan memanfaatkan ruang terhad untuk mencari sumber pendapatan amat berkesan.
“Menariknya, projek kolam SKPI ini menjadikan warga sekolah dan masyarakat sekitar menjadi pelanggan utama untuk membeli ikan yang diternak itu,”katanya.
Katanya, bagi mereka yang melalui kawasan kolam ini akan berasa seperti berada dalam dunia yang tersendiri apabila mendengar deruan air terjun serta kicauan 20 burung nuri yang berada dalam sangkar tepi kolam.-SAHIH.