SKIM VAKSINASI COVID-19 DISWASTAKAN
SKIM VAKSINASI COVID-19 DISWASTAKAN
JAKARTA: Indonesia menjadi negara pertama di dunia membenarkan pihak swasta mengendalikan skim vaksinasi COVID-19 serentak dengan program inokulasi dilaksanakan kerajaan.
Langkah itu bagi membolehkan syarikat membeli vaksin yang diperoleh kerajaan untuk diberikan kepada kakitangan masing-masing.
Bagaimanapun, inisiatif itu mendapat kritikan beberapa pakar kesihatan yang dikhuatiri boleh menyebabkan rasuah dan ketidakadilan dari segi pengagihan vaksin.
Negara terbesar di Asia Tenggara dengan penduduk keempat terbesar di dunia itu melancarkan program vaksinasi percuma bagi 181.5 juta orang dalam tempoh setahun.
Namun, sektor perniagaan mendesak vaksin itu diberikan kepada pekerja bagi membolehkan sektor ekonomi dibuka lebih cepat.
Mengikut peraturan terbaru itu, syarikat dibenarkan membeli vaksin untuk pekerja dan keluarga mereka serta diberi secara percuma melalui pusat kesihatan dikendalikan pihak swasta melalui kerjasama dengan syarikat farmasi milik negara itu, Bio Farma.
Vaksin dalam program itu berbeza dengan vaksin sedia ada yang diberikan kepada umum iaitu vaksin Sinovac keluaran Biotech China dan vaksin lain yang diluluskan seperti AstraZeneca dan Novavax.
Pegawai kanan Kementerian Kesihatan Indonesia, Siti Nadia Tarmizi pada satu sidang media, berkata skim itu tidak sama sekali mengganggu pengagihan vaksin yang sedang dilaksanakan.
Seorang pegawai Bio Farma berkata pihaknya sedang berunding dengan Moderna Inc untuk mendapatkan bekalan vaksin bagi skim swasta itu, sehari selepas seorang menteri memaklumkan dua juta dos vaksin Sinopharm China akan di bawa masuk, lapor Agensi.
Vaksin untuk kedua-dua program itu bagaimanapun perlu mendapat kelulusan agensi makanan dan ubat negara itu.
Awal minggu ini, seorang menteri berkata lebih 6,600 syarikat sudah mendaftar untuk skim swasta itu, yang mana harga siling vaksin diputuskan oleh Menteri Kesihatan.
Sementara itu, Pengarah Dasar Pusat Inisiatif Pembangunan Strategik Indonesia, Olivia Herlinda, khuatir skim itu boleh menyebabkan risiko rasuah dan pemerdagangan vaksin yang masih sukar diperoleh.