SK Sungai Sireh jamu ubi kayu rebus sambut kemerdekaan
Foto atas :
SK Sungai Sireh jamu ubi kayu rebus sambut kemerdekaan, Guru Besar SKeSS, Nor Mahali Mohamad Torman menyuapkan ubi kayu rebus dicicah kelapa parut kepada murid pada Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-65.
TANJUNG KARANG – Guru dan murid Sekolah Kebangsaan Sungai Sireh (SKeSS), Tanjung Karang, Selangor menjamu ubi rebus bersama kelapa parut sebagai acara kemuncak menyemarakkan Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-65 yang diadakan baru-baru ini.
Warga sekolah itu yang tidak biasa dengan makanan itu terpaksa mencuba sebagai usaha mengimbau santapan rutin penduduk pada zaman Jepun yang menjadi gimik menarik yang dicadangkan Panitia Sejarah SKeSS.
Guru dan ibu bapa menyambut baik idea tersebut bertepatan dengan matlamat Bulan Kemerdekaan iaitu menyemai rasa cinta kepada negara dan semangat untuk mempertahankan tanah air daripada penjajahan di samping bersesuaian dengan temanya Keluarga Malaysia Teguh Bersama.
Guru Besar SKeSS, Nor Mahali Mohamad Torman berkata, Panitia Sejarah merancang untuk membuat satu program yang berfokus pada zaman sebelum kemerdekaan terutama tentang cara hidup masyarakat semasa penjajahan Jepun.
“Salah satu perkara yang paling diingati tentang zaman berkenaan ialah sumber makanan yang sangat terhad disebabkan masyarakat pada ketika itu terpaksa menyerahkan hasil padi kepada penjajah dan hanya mengalas perut dengan ubi kayu rebus.
“Bagi menjayakan hasrat itu guru-guru mengambil bahagian dengan menyediakan bahan masakan beberapa hari sebelum program berlangsung dan pada hari kejadian mereka bergotong -royong untuk merebus, memasak dan menyediakan semua makanan bersama-sama,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, antara makanan yang diperkenalkan ialah ubi kayu rebus yang dijamah bersama kelapa parut, ikan masin goreng, sambal tumis ijo berserta lempeng, keledek dan cucur pisang serta stewol yang ternyata asing bagi sesetengah guru dan murid.
Nor Mahali berkata, reaksi yang diterima daripada murid sangatlah positif dan rata-rata mereka menyukai makanan itu walaupun mereka belum pernah merasa ubi kayu yang direbus serta dicicah bersama kelapa dan sambal untuk dimakan.
“Keadaan menjadi gamat dengan riuh rendah suara murid apabila apabila ramai antara mereka menambah ubi kayu untuk dimakan beramai-ramai seperti satu komuniti kampung yang terdiri daripada murid, guru dan seluruh warga sekolah.
“Ada segelintir murid yang pada awalnya dipelawa untuk menjamah ubi kayu tetapi tidak mahu yang mungkin kerana kali pertama melihat makanan itu namun apabila dipujuk dan selepas sekali mencuba mereka sangat menyukainya,” katanya.
Sementara itu, Guru Penyelaras sambutan itu, Ramnah Hassim, berkata ada sesetengah murid minta disuapkan berulang-ulang kali manakala murid tahap 1 dan prasekolah pula banyak bertanya kepada guru nama makanan yang dihidangkan berikutan mereka tidak pernah melihat makanan berkenaan.
Menurutnya, ada juga murid yang tidak menyukai kerana mereka tidak biasa dengan makanan yang direbus tetapi menyifatkan program itu satu pengalaman berharga serta menyuntik semangat untuk tidak membenarkan negara kita dijajah lagi.
“Paling menarik sesi suap-menyuap makanan zaman pendudukan Jepun ini ibarat satu kolaborasi dengan program Guru Penyayang apabila ikatan kasih sayang serta saling hormat-menghormati tersemai antara guru dan murid,” katanya.-SAHIH.