SITI ELIZAD KEGUGURAN
PENGACARA DAN PENYAMPAI RADIO SINAR FM SITI ELIZAD ALAMI KEGUGURAN
KUALA LUMPUR: “Allah bagi rasa nikmat jadi ibu, minggu lalu, tetapi diambil semula. Saya reda dengan ketentuan-Nya, biarpun dipinjamkan seketika,” kata pelakon, pengacara dan penyampai radio, Siti Elizad Sharifuddin yang mengalami keguguran selepas menjalani rawatan kesuburan in-vitro (IVF), Oktober lalu.
Siti Elizad yang juga penyampai radio Sinar FM berkongsi berita duka menerusi laman Instagram, hari ini. Malah, pelakon filem Berlari Ke Langit itu turut memuat naik paparan skrin WhatsApp yang menunjukkan suaminya memaklumkan khabar duka kepada ahli keluarga lain.
“Terjentik sungguh rasa antara nikmat yang baru dirasai, kemudian diragut sekelip mata.
“Saat dimaklumkan hamil minggu lalu, hanya Tuhan sahaja tahu perasaan saya. Apatah lagi, saya dan suami sekian lama mengharapkan kehadiran cahaya mata. Namun, kandungan tidak kuat dan mula berlaku pendarahan.
“Saya terduduk dan tergamam, namun kena terima ketentuan ini. Tak mengapa, insya-Allah, ada rezeki lain. Saya hanya mampu bersangka baik dengan ujian Allah. Moga ada lebih nikmat selepas ini,” katanya dipetik dari BH Online.