SISTEM SPeKAR MAMPU BANTU SELESAIKAN MASALAH HUTANG PENJAWAT AWAM
SISTEM SPeKAR MAMPU BANTU SELESAIKAN MASALAH HUTANG PENJAWAT AWAM
LIPIS – Penjawat awam kini mempunyai harapan baharu dalam menangani masalah keberhutangan menerusi Sistem Pelaporan Kredit ANGKASA (SpeKAR) yang mampu membantu syarikat pemberi pinjaman menilai kelayakan kredit peminjam dengan lebih tepat.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, sistem itu dapat mengelakkan penjawat awam daripada terbeban dengan hutang di luar kemampuan mereka.
Menurutnya, kebanyakan penjawat awam mempunyai potongan gaji tetap menerusi Sistem Potongan Gaji ANGKASA (SPGA), yang menjadi komponen utama dalam SpeKAR. Ini membolehkan syarikat pemberi pinjaman menilai sama ada pemohon layak menerima pinjaman baharu atau sebaliknya berdasarkan kuota 60/40.
“Kajian menunjukkan 10 hingga 15 peratus daripada penjawat awam yang berhutang mengalami kebankrapan setiap tahun. Dengan adanya SpeKAR, kita dapat mengenal pasti lebih awal mereka yang berisiko tinggi dan mengelakkan mereka daripada terus menambah beban kewangan,” katanya.
Abdul Fattah turut menjelaskan bahawa SpeKAR bukan sahaja memaparkan rekod pinjaman koperasi tetapi juga menyimpan maklumat daripada 366 pemberi pinjaman lain, termasuk Non-Bank Lender Credit Information (NLCI).
Beliau menegaskan bahawa syarikat pemberi pinjaman perlu menggunakan sistem ini untuk menilai kemampuan pemohon sebelum meluluskan sebarang pinjaman. Langkah ini bukan sahaja mengurangkan risiko hutang tidak berbayar, tetapi juga membantu individu menguruskan kewangan dengan lebih bijak.
“Kami juga menyarankan agar pendidikan kewangan diperluaskan dalam kalangan penjawat awam supaya mereka lebih sedar tentang risiko hutang yang berlebihan,” tambahnya.
Dengan peningkatan kadar keberhutangan yang membimbangkan, SpeKAR diharap dapat menjadi penyelesaian efektif dalam memastikan kestabilan kewangan penjawat awam serta mengurangkan kes kebankrapan di Malaysia.-SAHIH