SINGAPURA HENTI CETAK WANG S$1,000
SINGAPURA HENTIKAN CETAKAN WANG S$1,000
SINGAPURA: Pengeluaran wang kertas S$1,000 akan dihentikan mulai 1 Januari depan bagi mengurangkan risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan aktiviti militan atau pengganas, kata Penguasa Kewangan Singapura (MAS), hari ini.
Pengeluaran wang kertas S$1,000 pada masa ini hingga Disember depan dihadkan bagi setiap bulan.
Jelasnya, langkah ini diambil bagi mengurangkan risiko pengubahan wang haram dan mencegah kegiatan membiayai aktiviti pengganas .
Menurutnya, ia selari dengan norma antarabangsa dan bidang kuasa utama yang sudah pun menghentikan pengeluaran wang kertas membabitkan jumlah yang besar,” kata MAS dalam satu kenyataan hari ini.![]()
MAS turut memberitahu, wang kertas dengan nilai yang besar ini membolehkan segelintir individu membawa sejumlah wang tanpa mendedahkan nama atau identiti mereka.
Dalam pada itu, MAS memaklumkan wang kertas S$1,000 dalam edaran tetap sah dan boleh terus digunakan sebagai salah satu kaedah pembayaran.
Bank juga boleh terus mengedarkan wang kertas S$1,000 sedia ada yang masih berada dalam simpanan.
MAS turut menambah, wang kertas lain akan terus dikeluarkan dan pihaknya akan memastikan ia mencukupi bagi memenuhi permintaan ramai, terutama wang kertas S$100.
MAS turut menggalakkan orang ramai menggunakan kaedah pembayaran secara elektronik antaranya melalui platform PayNow dan FAST.
Untuk rekod, Singapura berhenti mengeluarkan wang kertas S$10,000 pada 2014, yang pada ketika itu menjadi salah satu wang kertas paling berharga di dunia.
