SINDIRAN KONON NILAI 3 SUDAH JADI MILIK SELANGOR
SINDIRAN KONON NILAI 3 SUDAH JADI MILIK SELANGOR
Seremban: Pusat membeli-belah Nilai 3 Nilai di sini, seolah-olah menjadi `rebutan’ antara Negeri Sembilan dengan Selangor gara-gara kes usahawan dan selebriti popular Noor Neelofa Mohd Noor (Neelofa) dan suaminya, Mohammad Haris Mohd Ismail.
Neelofa dan Muhammad Haris sebelum ini tidak dituduh atas kesalahan merentas negeri ke Nilai 3 pada awal bulan ini sebaliknya pertuduhan hanya membabitkan kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pasangan itu dikesan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka ketika berkunjung ke kedai karpet Naeem Carpet Sdn Bhd di sini, pada 2 Mei lalu.
Isu itu membuatkan netizen di media sosial, memuat naik status ‘sindiran’ mengatakan Nilai 3 kini seolah-olah sudah ‘berpindah’ ke Selangor.
Kenyataan itu turut mengundang reaksi Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang membuat ciapan mengusik Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengenai Nilai 3.
Aminuddin menerusi ciapan di Twitter miliknya mengusik dengan menulis ‘berapa harga nak beli Nilai 3 ya? dan kemudian dibalas Amirudin ‘Hahaha kena bincang dengan juru nilai’.
Aminuddin kemudian membalas ‘kejap, saya ukur Nilai 3’, sekali gus disambut seorang individu lain yang menawarkan perkhidmatan ukur tanah, sambil menulis janganlah jual Nilai 3 Datuk.
Aminuddin kemudiannya membalas dengan jawapan bahawa beliau hanya sekadar bergurau.
Isu Neelofa dan suami ke Nilai 3, menimbulkan rasa tidak senang netizen kerana tiada pendakwaan rentas negeri dikenakan terhadap pasangan terbabit yang jelas memasuki Negeri Sembilan, lapor HM online
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman sudah mengesahkan bahawa kertas siasatan berhubung isu pergerakan rentas negeri membabitkan pasangan berkenaan sudah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara.