Sindiket ketum tumpas, bekas penjawat awam antara 4 ditahan
Sindiket ketum tumpas, bekas penjawat awam antara 4 ditahan
JOHOR BAHRU – Polis menumpaskan sindiket memproses dan menjual daun ketum dipercayai beroperasi sejak lima tahun lepas dengan penahanan empat individu, termasuk seorang lelaki yang merupakan bekas penjawat awam dalam serbuan di sekitar bandar raya ini Rabu lepas.
Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lelaki berusia 35 tahun itu bersama isterinya berusia 36 tahun yang berperanan sebagai akauntan serta dua pekerja lelaki mereka ditahan antara jam 2.45 dan 6 pagi.
Beliau berkata, serbuan dilakukan susulan penahanan seorang pemandu lori di kawasan hentian Simpang Renggam, Lebuhraya Utara Selatan pada 21 Dis lepas yang didapati positif methamphetamine dan dipercayai dalam perjalanan menghantar bekalan 700kg daun ketum dari utara ke selatan.
“Sindiket ini dipercayai menyewa sebuah kilang di Kempas, di sini pada kadar kira-kira RM1,000 sebulan untuk dijadikan tempat membungkus dan memproses daun ketum.
“Sindiket ini juga memperoleh keuntungan dianggarkan RM120,000 hingga RM200,000 sebulan hasil jualan air dan daun ketum. Bekalan ketum dipercayai diperoleh daripada pembekal di utara tanah air dengan menggunakan lori buah-buahan,” katanya kepada pemberita di sini.
Ayob Khan berkata, kegiatan memproses dan menjual ketum popular sejak kebelakangan ini susulan permintaan tinggi dengan harga semasa daun ketum antara RM35 dan RM80 sekilogram, manakala harga sebotol 1.5 liter air ketum pula antara RM13 dan RM25.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati bekas penjawat awam, isterinya serta seorang pekerja tersebut positif methamphetamine.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas 75.55kg daun ketum, 60 botol air ketum serta sejumlah peralatan memproses ketum bernilai RM1,655 dalam serbuan itu, dengan keempat-empat individu itu kini direman lima hari untuk siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
Ayob Khan berkata, pihaknya turut melakukan tangkapan susulan ke atas lapan penjawat awam lelaki berusia 25 hingga 39 tahun pada 8.30 malam tadi di sekitar bandar raya ini dan Kulai.
Katanya, penahanan mereka bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan sama ada bersekongkol dengan ketua sindiket berkenaan atau terlibat dalam penggunaan ketum.
SUMBER: Bernama