SINDIKET JUDI ONLINE CUBA DI HIDUPKAN KEMBALI
SINDIKET JUDI ONLINE CUBA DI HIDUPKAN KEMBALI
KUALA LUMPUR – Polis tidak menolak kemungkinan sindiket perjudian dalam talian (online) cuba menghidupkan kembali kegiatan haram mereka selepas sekian lama bersembunyi.
Ia susulan tular dua video promosi aktiviti perjudian online sempena hari raya yang tersebar di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusof berkata, pihaknya sentiasa memantau sebarang kegiatan perjudian itu sama ada melalui kewujudan premis atau secara dalam talian.
“Kita yakin ada usaha oleh sindiket untuk menghidupkan kembali aktiviti judi dalam talian, namun pihak JSJ tidak berputus asa dan tidak akan berhenti untuk mengesan dan menangkap mereka yang terbabit.
“Sehubungan itu, saya menasihatkan orang ramai supaya tidak terjebak dengan aktiviti judi dalam talian yang dipromosikan ini,” katanya kepada pemberita selepas menyerbu tiga premis pelacuran di Taman Maluri di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, polis percaya kegiatan perjudian yang dipromosikan itu bukan hanya menyasarkan pada musim perayaan, malah dijangka berterusan pada hari-hari seterusnya.
Katanya, pihaknya akan mengesan kegiatan haram itu melalui pelbagai kaedah yang ada selain bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi memastikan aktiviti terbabit dapat dihapuskan.
“Malah JSJ Kuala Lumpur turut mengalu-alukan sebarang maklumat dari orang ramai,” katanya.
Gambar Hiasan
Pada Jumaat, lapan individu termasuk tiga wanita yang terbabit dalam produksi sebuah iklan mempromosi aktiviti perjudian sempena hari raya diberkas polis, lapor SINAR HARIAN
Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Ekoran itu, polis sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Loh Kee Hoe, 35, yang disyaki adalah dalang utama kepada pembikinan dua video iklan berkenaan.