Sindiket Dadah ‘High Class’ Tumpas di Pahang – Syabu & Ganja RM421K Dirampas!
Sindiket Dadah ‘High Class’ Tumpas di Pahang – Syabu & Ganja RM421K Dirampas!
RAUB – Polis Pahang berjaya melumpuhkan sindiket dadah ‘high class’ yang aktif mengedar syabu dan ganja di negeri ini dalam satu operasi dramatik di Bandar Raub pada 19 Mac lalu.
Serbuan mengejut di kawasan parkir kenderaan sekitar jam 3.30 petang itu menyaksikan empat individu ditahan, termasuk seorang lelaki warga Indonesia.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, sindiket ini dipercayai telah beroperasi selama tiga bulan dengan mendapatkan bekalan dadah dari Lembah Klang sebelum diedarkan di Pahang dan diseludup ke negara jiran.
“Dalam dua kenderaan suspek, polis menemukan lebih 13 kilogram syabu dan ganja yang mampu menampung lebih 26,000 penagih sehari! Dadah yang dirampas bernilai RM421,286,” katanya.
Antara rampasan utama ialah lima bungkus teh Cina bertanda ‘Guanyinwang’ berisi syabu seberat 5.3kg, serta ketulan kristal syabu seberat 7.6kg.
Lebih mengejutkan, seorang suspek lelaki tempatan berusia 45 tahun memiliki rekod jenayah berkaitan judi dan kecurian, manakala seorang lagi suspek pernah terlibat dalam kes jenayah di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
Suspek wanita pula disahkan positif dadah jenis amphetamine dan dipercayai isteri kepada salah seorang lelaki yang ditahan.
Lelaki warga Indonesia berusia 59 tahun yang turut ditahan didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Semua suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Polis juga sedang menyiasat rangkaian sindiket ini dan aset mereka untuk tindakan sitaan.
“Kami tidak akan berhenti di sini! Pahang bukan tempat untuk pengedar dadah bermaharajalela!” tegas Yahaya.-SAHIH