Sindiket cuba lolos RM1.31 juta barangan seludup tumpas di tangan Kastam Pahang
Sindiket cuba lolos RM1.31 juta barangan seludup tumpas di tangan Kastam Pahang
TEMERLOH : Puak penyeludup sekali lagi cuba ‘mengaburi’ pihak berkuasa dengan teknik penyamaran kontena, namun taktik itu akhirnya terbongkar apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang merampas barangan tidak berkastam bernilai RM1.31 juta dalam tiga serbuan berasingan, awal Oktober lalu.
Lebih mengejutkan, jumlah cukai hampir RM916,000 turut cuba dielakkan sindiket terbabit, menjadikan operasi ini antara kejayaan terbesar JKDM Pahang tahun ini.
Sumber penguat kuasa berkata, serbuan pertama di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang mendedahkan modus operandi klasik — mengikrarkan barangan mewah sebagai barangan biasa.
Pemeriksaan ke atas kontena 40 kaki yang kononnya membawa basikal biasa akhirnya membongkar 434 unit basikal elektrik bernilai lebih RM272,000, dipercayai untuk pasaran gelap dalam negara.
Menurut Pengarah Kastam Pahang, Mohd Asri Bin Seman, sindiket sering menggunakan taktik penyamaran kategori barang untuk mengelak permit MITI dan cukai import, terutama bagi barangan yang berada dalam senarai larangan.
Katanya, sindiket seolah-olah tidak serik, apabila dua lagi kontena turut ‘kantoi’ pada hari sama selepas pemeriksaan menemui 41,600 kilogram beras dan 7,980 kilogram tepung beras yang disorok di celah guni.
“Beras itu berskala industri, bukan untuk kegunaan kecil. Taktik sebegini jelas menunjukkan ia digerakkan pihak yang sudah lama beroperasi,” katanya.

Serbuan ketiga pula membawa pasukan JKDM Temerloh ke Klang, sebelum menahan sebuah lori sarat membawa 113,920 paket rokok putih pelbagai jenama — bersamaan 2.27 juta batang, dipercayai untuk pasaran rokok seludup sekitar Lembah Klang.
Pemandu lori terbabit ditahan dan dihadapkan ke mahkamah sebelum dijatuhi hukuman penjara setahun, sementara semua rokok dilucuthakkan kepada kerajaan.
Mohd Asri menegaskan, JKDM Pahang kini memberi tumpuan kepada sindiket berskala besar yang dipercayai mempunyai rangkaian logistik hingga ke peringkat pelabuhan.-SAHIH
