Sikap tolong menolong antara penghuni, tiga dipilih tokoh Maulidur Rasul
Foto atas : Ustaz Alias Ahmad (kiri) mengetuai perarakan berselawat warga emas dan penduduk kampung sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1445H/2023M, Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, baru-baru ini.
Sikap tolong menolong antara penghuni, tiga dipilih tokoh Maulidur Rasul
KAJANG – Sikap ringan tulang dan suka membantu rakan senasib tanpa jemu menjadi pilihan tepat tiga warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih dan Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, dekat sini apabila terpilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul 2023 bagi kategori penghuni.
Pemilihan Elias Othman berasal dari Johor, Faridah Isa dari Kelantan iaitu penghuni di PJMM dan Muhammad Adam Wong Abdullah dari PJNH diumumkan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1445H/2023M PJMM, baru-baru ini.
Elias, 67, yang ditemui, berkata kerajinan dia membantu rakan senasib di pusat jagaan itu bukanlah berniat untuk memenangi mana-mana anugerah atau disanjung sebaliknya melakukan dengan ikhlas membantu rakan yang sebahagian besar berada dalam keadaan keuzuran.
Katanya, dia mengenali semua rakan sepenghuni di PJMM dan apabila selalu duduk berborak bertanya khabar, hubungan antara mereka semakin rapat dan saling membantu dalam melakukan pelbagai perkara sudah menjadi rutin hariannya yang masih mampu berjalan walaupun menghadapi masalah sakit dalaman.
“Saya membantu menyorong kerusi roda rakan yang lumpuh atau terkesan dengan penyakit tiga serangkai khususnya kencing manis, dia turut memberikan tunjuk ajar melakukan senaman ringan kepada rakan-rakan.
“Selepas lima tahun menjadi penghuni di PJMM saya bersyukur kerana berjaya khatan al-Quran sebanyak lima kali malah tidak pernah berasa jemu mengikuti kelas mengaji serta fardu ain yang dipimpin ustaz dan ustazah bertauliah di samping menunaikan solat tahajjud berjemaah,” katanya yang melahirkan rasa gembira menerima anugerah itu.
Faridah, 67, pula berkata, selepas kematian suaminya dan terlantar di hospital tanpa ditemani anak, dia berasa bertuah apabila dihantar ke PJMM untuk meneruskan kelangsungan hidup apabila tiada tempat untuk berteduh sejak hampir dua tahun lalu.
Dia yang mendakwa mempunyai dua anak perempuan tidak lagi bergantung harapan kepada mereka selepas disisihkan kerana keuzuran namun kini kembali sihat dan dapat membantu rakan-rakan perempuan yang uzur dan terlantar di atas katil.
Menurutnya, di samping membantu petugas mengagihkan makanan, dia turut membantu membersihkan meja makan serta mengemaskan barangan atau menyusun kitab serta al-Quran di dalam surau.
“Saya berasa tidak selesa hanya duduk sahaja tanpa melakukan apa-apa kerja memandangkan keadaan kesihatan semakin pulih bagi membantu rakan-rakan yang uzur atau lemah untuk bergerak atau membersihkan diri,” ujarnya yang sudah dua kali khatan al-Quran dan tidak pernah lupa menunaikan solat tahajjud setiap hari.
Manakala Muhammad Adam, berkata rakan senasib dengannya di PJNH diibarat sebagai ahli keluarga kerana itu dia sentiasa membantu petugas menyediakan hidangan makanan dan minuman untuk warga emas setiap hari.
Menurutnya, bagi rakan yang berkerusi roda dia akan membantu menyorong mereka untuk ke meja makan atau ke surau bagi menunaikan solat berjemaah di samping memapah untuk baring di atas katil apabila tiba masa untuk tidur atau sebagainya.
Jelas beliau yang berusia 69 tahun, tiada yang menyuruh atau memaksa dia melakukan pelbagai kerja membantu rakan penghuni di PJNH sebaliknya dilakukan secara sukarela malah salah satu cara bagi menghilangkan rasa bosan apabila hanya duduk sahaja.
“Kesempatan ini juga saya gunakan untuk bersenda gurau dengan rakan warga emas yang masing-masing mempunyai pelbagai kisah suka duka masa silam sama ada dibuang oleh ahli keluarga atau hidup sebatang kara tanpa waris.
“Alhamdulillah saya gembira menerima anugerah ini selepas empat tahun memeluk agama Islam dan sudah tujuh tahun menjadi penghuni PJNH selepas dihantar pihak hospital kerana tiada tempat untuk berteduh apabila discaj dari wad,” ujarnya.
Sementara itu, dua petugas menerima anugerah Maulidur Rasul bagi kategori kakitangan iaitu Suhaimi Kamarul Ghani (PJMM) dan Norfathiah Izyan Norman (PJNH) di samping beberapa sukarelawan menerima bagi kategori berkenaan termasuklah Muhd Azizan Abdullah dan Zamila Majlis. – SAHIH.