SIFAT YDP AGONG PILIH RUNDINGAN DIHARGAI
Berita Nasional
SIFAT YDP AGONG PILIH RUNDINGAN DIHARGAI
KUALA LUMPUR: Raja-Raja Melayu menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas sifat baginda memilih melakukan rundingan sebelum memberi sebarang perkenan dan menzahirkan apa-apa keputusan mengenai perkara yang sangat penting.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam ini dengan titah perkenan Raja-Raja, memaklumkan semangat itu selaras budaya syura yang sangat dianjurkan Islam ketika ummah menghadapi persoalan yang memerlukan penyelesaian.
Syed Danial berkata, pada mesyuarat khas petang tadi, Seri Paduka memaklumkan kepada Raja-Raja mengenai keputusan Mesyuarat Khas Kabinet pada 23 Oktober lalu, yang memohon perkenan baginda untuk mengisytiharkan darurat berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
“Baginda dengan kearifan dan bijaksana berpendirian amat penting untuk perkara itu dibincangkan secara bersama dengan Raja-Raja pemerintah,” katanya.
Katanya, ia berpandukan prinsip Raja Berperlembagaan, demokrasi berparlimen, selain memahami keseriusan implikasi daripada permohonan itu terhadap imej negara, pandangan dunia, keyakinan pelabur dalam dan luar negara, aspek kemakmuran negara serta kehidupan rakyat jelata.
“Dalam perjumpaan berkenaan, Raja-Raja mencambahkan pandangan dan menzahirkan pendapat secara terbuka serta berterus-terang dalam semangat saling menghormati agar dapat dijadikan bahan panduan dan rujukan yang membantu baginda membuat ketetapan.
“Raja-Raja berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara pelbagai cabang kerajaan dan peranan Seri Paduka untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin keadilan dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa.
“Raja-Raja turut menegaskan pentingnya prinsip Raja Berpelembagaan dan demokrasi berparlimen diterjemahkan melalui budaya pemerintahan yang pada setiap masa meluhurkan Perlembagaan negara, mendaulatkan undang-undang dan mengutamakan kebajikan rakyat,” katanya.
Sumber: BH Online