SICP TIDAK GANGGU PENDAFTARAN MELALUI MYSEJAHTERA
SICP TIDAK GANGGU PENDAFTARAN MELALUI MYSEJAHTERA
KUANTAN: Kerajaan Pahang memberi jaminan tidak berlaku pertindihan nama bagi mereka yang sudah mendaftar untuk mendapat suntikan vaksin Sistem Imunisasi COVID-19 Pahang (SICP) dan aplikasi MySejahtera.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini kerana SICP adalah sistem penyumbang kepada MySejahtera dan diperkenalkan Kerajaan Pahang untuk mempercepatkan lagi proses pendaftaran dan vaksinasi bagi penduduk di negeri ini.
“Tidak akan ada pendaftaran bertindih bagi mereka yang sudah daftar (melalui) MySejahtera dan kemudian mendaftar pula dengan SICP kerana kedua-dua sistem saling melengkapi antara satu sama lain.
“Fungsi SICP adalah untuk mengumpul data daripada bakal penerima vaksin melalui agensi berkaitan, memberikan tarikh temujanji dan kemudian maklumat mereka diserahkan kepada MySejahtera untuk proses notifikasi kepada penerima (berhubung tarikh temujanji),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri sambutan Hari Polis ke-214 di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri berasakan ada beberapa kaedah yang lebih sesuai untuk rakyat Pahang mendaftar bagi mendapatkan vaksin COVID-19 dan disebabkan itu SICP diperkenalkan.
“Contohnya, mungkin ada warga emas yang tiada ‘handphone’ (telefon bimbit), tapi anak dia ada dan boleh tolong daftarkan dan kedua, mana-mana individu boleh ‘walk-in’ (masuk terus) sahaja ke tempat suntikan, daftar di situ dan dapat suntikan (vaksin) serta boleh juga daftar guna talian telefon biasa,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menggalakkan orang ramai untuk mendaftar dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan pihaknya turut meminta Majlis Tindakan Sosial Pahang turun padang di kawasan tumpuan untuk membantu mempercepatkan proses pendaftaran untuk orang ramai.
“Kita minta Majlis Tindakan Sosial Pahang pergi ke pekan sehari, masjid dan surau untuk tolong orang ramai mendftarkan diri dan mengisi borang dalam MySejahtera sebab kita tahu, masih ramai yang tak reti (tahu) berbuat demikian selain menerangkan mengenai pentingnya mengambil vaksin,” katanya.
Mengenai proses vaksinasi untuk pegawai dan anggota polis di Pahang, beliau berkata, setakat ini seramai 3,123 daripada 5,422 sudah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19- SAHIH