SIASATAN KE ATAS LONG TIGER ADALAH TELUS
SIASATAN KE ATAS LONG TIGER ADALAH TELUS
JOHOR BAHRU: Polis Johor menegaskan siasatan dijalankan berhubung kes Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid adalah telus dan tiada istilah layanan istimewa kepada mana-mana pihak.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata ia susulan tular isu surat peguam yang dikatakan dihantar kepada pihaknya sudah tersebar.
Katanya, hasil semakan mendapati surat yang tersebar itu sebagaimana didakwa peguam menerusi siaran langsung Facebook (FB), tidak pernah berlaku dan ia bukan daripada pihak polis.
“Polis mengambil maklum berkenaan surat permohonan itu, namun disebabkan kes Long Tiger masih dalam perbicaraan di mahkamah, dikhuatiri perkara ini akan mengganggu dan mempengaruhi proses perbicaraan.
“Atas faktor kekangan masa dan perlu memberi perhatian khusus kepada kes lebih serius, polis terpaksa menolak permohonan itu.
“Bersabit kes yang dilaporkan, polis Johor bertindak secara profesional dengan melayan dan menyiasat semua sembilan aduan yang dibuat oleh Long Tiger dan isterinya, malah ada antara kes itu sudah dituduh serta dijatuhkan hukuman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan dikeluarkan sebagai mengulas dakwaan peguam Long Tiger menerusi FB Live semalam, yang menyebut terdapat pegawai polis yang menjalankan siasatan kes anak guamnya sengaja melewat-lewatkan siasatan kes, sedangkan bukti kejadian telah dikemukakan.
Dalam siaran sama, peguam itu turut menyatakan kekesalan kerana surat permohonan pihaknya untuk bertemu Ayob Khan telah ditularkan di media sosial, sehingga menyebabkan mereka dituduh makan duit selain turut membangkitkan soal integriti polis, lapor BH Online.
Ayob Khan berkata, pihaknya mengingatkan isu itu tidak akan berakhir selagi pihak berkaitan masih tidak berhenti menuduh antara satu sama lain dalam media sosial masing-masing.