SIAPA CALON ADUN LANTIKAN NEGERI PAHANG?
KUANTAN: Desas-desus memperkatakan antara lima calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di negeri Pahang adalah Pegawai Khas Menteri Besar Pahang mewakili komuniti Sikh, Datuk Jasvir Singh Ram Singh.
Menurut sumber terdekat, lantikan beliau sebagai pegawai khas selepas banyak terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan di daerah Bentong, seterusnya menjadikannya individu pertama dilantik mewakili komuniti Sikh.
Datuk Jasvir juga merupakan Pengerusi Pertubuhan Jaringan Cemerlang Masyarakat Bersatu (JCMB) dan Ahli Majlis Perbandaran Bentong.
Beliau dilihat aktif dengan aktiviti kemasyarakatan sejak tahun lalu dan mendapat liputan pelbagai media di Pahang.
Antara aktiviti kemasyarakatan itu adalah melawat mangsa ribut di Ketari, meraikan sambutan kemerdekaan dengan memasang 100 jalur gemilang di sekitar kampung dalam daerah Bentong secara bergotong-royong dan meraikan komuniti Sikh sempena perayaan memperingati Sri Guru Nanak Devji ke 550 di Gurdwara Sahib Bentong.
Beliau juga pernah mewakili Menteri Besar Pahang ketika memberi sumbangan kepada seorang kanak-kanak berusia 3 tahun di FELDA Mempaga yang dipotong dua belah kaki dan enam jari tangan akibat gangren.
Desas-desus itu juga lebih kuat apabila Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy pada program Cakna Tok Wan di Dewan UMNO Bahagian Cameron Highlands, semalam menyatakan pelantikan dibuat kemungkinan berdasarkan calon bagi mewakili kumpulan minoriti di Pahang.
DATUK Seri Wan Rosdy Wan Ismail
“Mungkin kita cuma lantik ADUN (lantikan) bagi mewakili masyarakat Orang Asli.. mungkin kita lantik untuk mewakili kaum Sikh.. lantikan itu adalah untuk mewakili kumpulan minoriti dan kerajaan negeri belum lagi ada calon untuk lantikan ADUN ini,” katanya pada majlis itu.