SHARNAAZ DIPANGGIL SPRM
Berita Jenayah
SHARNAAZ DIPANGGIL SPRM
Kuala Lumpur: Pelakon Sharnaaz Ahmad, 35, belum dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes pengubahan wang haram Macau Scam dan perjudian dalam talian.
Sharnaaz atau nama sebenarnya, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad berkata, dia ada menghubungi SPRM sebelum ini untuk memberi keterangan dan bersedia memberi kerjasama bagi membantu siasatan.
“Belum ada sebarang panggilan saya dapat setakat ini daripada SPRM. Namun, saya sudah bersedia untuk memberikan kerjasama penuh jika dipanggil.
“Saya mengaku pernah menghubungi SPRM bagi memberi keterangan sebaik isu terbabit menjadi bualan. Apapun, butiran maklum balas SPRM adalah sulit untuk saya kongsikan,” katanya.
Pelakon drama Pelindung Seorang Puteri itu berkata, dia tidak perlu rasa takut kerana tidak bersalah. Dia juga mendakwa tidak terbabit dalam sindiket berkenaan.
“Kegiatan haram terakhir yang pernah saya lakukan adalah kuda longkang. Itu pun masa saya masih di zaman persekolahan. Itu pun kalah sebab saya memang tiada bakat dalam perjudian. Saya cuma ada bakat dalam memikat hati dinda (perempuan) sahaja,” katanya.
Sharnaaz juga bersyukur perniagaannya tidak terjejas disebabkan kontroversi mengaitkan jenama diusahakannya itu baru-baru ini.
“Syukur, perniagaan saya masih berjalan seperti biasa. Namun, agak terjejas sedikit daripada segi jenamanya sajalah,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan dua artis terkenal dalam bidang lakonan dan pengacaraan bakal dipanggil SPRM untuk membantu siasatan kes terbabit.