SHALIN LAYAK TERIMA ANUGERAH DATUK
SHALIN LAYAK TERIMA ANUGERAH DATUK
KUALA LUMPUR: Ratu boling negara, Shalin Zulkifli berpeluang cerah mendapat gelaran Datuk daripada pemerintah negeri jika namanya dikemukakan oleh Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) atau Majlis Sukan Negara (MSN) kepada pejabat menteri besar untuk pertimbangan.
Naib Presiden Majlis Datuk Persekutuan Malaysia, Datuk Abdul Razak Dawood berkata, dalam konteks ahli sukan, sememangnya ada ruang untuk mereka menerima anugerah yang membawa gelaran Datuk sebagai tanda penghargaan jasa dan keringat terutama dalam mengharumkan nama negara.
RATU BOLING NEGARA, SHALIN ZULKIFLI
“Pihak persatuan sukan boleh mengemukakan nama Shalin kepada pejabat menteri besar untuk dicadang nama beliau menerima anugerah berkenaan.
“Selain persatuan sukan, MSN atau organisasi berkaitan juga boleh berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, Shalin belum layak menerima gelaran Datuk di peringkat Persekutuan kerana faktor usia.
Menurutnya, kelayakan memohon gelaran Datuk di peringkat Persekutuan lebih ketat dengan individu berkenaan perlulah berusia lebih 45 tahun dan dinilai berdasarkan bakti dan jasanya kepada negara.
“Peringkat Persekutuan pula, beliau tidak layak memandangkan usianya baru saja 42 tahun dan perlu menunggu sekurang-kurangnya tiga tahun lagi untuk memenuhi kriteria yang ditetapkan,” katanya.
Arena Metro secara eksklusif semalam melaporkan Shalin layak menerima darjah kebesaran bergelar Datuk berikutan kecemerlangan sepanjang hampir tiga dekad mewakili negara termasuk tiga kali menjadi juara dunia dan lima kali dipilih Olahragawati Kebangsaan.
Malah nama Shalin yang mengumumkan persaraan baru-baru ini boleh dikatakan setaraf dengan dua jaguh sukan tanah air iaitu bintang badminton, Datuk Lee Chong Wei dan jagoan skuasy, Datuk Nicol David.
Tidak keterlaluan, jasanya lebih besar kepada negara berbanding dua artis antarabangsa iaitu bintang Bollywood terkenal, Datuk Shah Rukh Khan dan penyanyi Indonesia, Datuk Rossa.