SHAHRIR CADANG MUHYIDDIN BERUNDUR
KERAJAAN PERIKATAN NASIONAL LEMAH, PEMIMPIN GAGAL
KUALA LUMPUR: Pemimpin veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang lemah dan wajar meletak jawatan.
Kelemahan itu ketara selepas Muhyiddin dan kerajaan pimpinannya gagal mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong bagi mengisytiharkan darurat untuk mengatasi penularan COVID-19.
TAN Sri Shahrir Samad
“Keputusan untuk diistyihar darurat sudah cukup memerlukan Muhyiddin meletakkan jawatan kerana pentadbir semasa darurat tidak perlu baginya kekal sebagai Perdana Menteri (PM).
“Siapalah yang menasihat Muhyiddin untuk menyembahkan nasihat ini kepada Agong? Saya dengar ramai peguam-peguam yang rapat dengan BERSATU dan komponen Perikatan Nasional (PN).
“Apabila nasihat Muhyiddin ditolak oleh Agong, sekali lagi terdedah kelemahan kepimpinan Muhyiddin sebagai PM dan lagi mengukuhkan sebab Muhyiddin sepatutnya meletakkan jawatannya sebagai PM,” katanya dalam satu catatan di akaun Facebook miliknya, petang tadi.
Jelasnya tindakan Muhyiddin memohon pengisytiharan darurat membuktikan yang beliau dalam keadaan tertekan.
“Ianya suatu tindakan yang desperate dan mendedahkan kelemahan kumpulan penasihat dan perancang Muhyiddin, inner circle dan jemaah menteri PN,” katanya lagi.
Oktober lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah bertitah menolak cadangan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia buat masa ini.