“Shafiq dakwa MCMC cuba tutup salah laku isu Menara KL”
“Shafiq dakwa MCMC cuba tutup salah laku isu Menara KL”
KALAU LUMPUR – : Ketua Penerangan BERSATU Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim mendakwa tawaran kompaun RM10,000 yang dikenakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadapnya sebagai cubaan untuk menutup isu sebenar berkaitan penganugerahan konsesi Menara Kuala Lumpur.
Menurut Shafiq, beliau terkejut apabila menerima notis kompaun itu yang mendakwa dirinya melanggar Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas tuduhan menyebarkan kandungan jelik di aplikasi TikTok.
“Namun notis itu langsung tidak menjelaskan kandungan yang dikatakan jelik. Hanya melalui kenyataan media MCMC dua hari lalu baru saya tahu ia berkaitan isu pekerja Menara KL dan dikaitkan dengan 3R (kaum, agama, institusi diraja),” katanya dalam sidang media, hari ini.
Jelasnya, beliau pernah dipanggil MCMC pada 7 April lalu berhubung video bertajuk Menara KL Tergadai Raya Ke-2, namun tiada soalan menyentuh isu 3R atau pekerja, sebaliknya hanya menjelaskan maksud perkataan ‘tergadai’ yang merujuk kepada dasar Ekuiti Bumiputera (ESN).
“Tiada rampasan barang dibuat dan saya juga serahkan dokumen berkaitan kepada mereka,” katanya.
Shafiq turut memetik kenyataan Pengarah Urusan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), Dato Abdul Hamid Shaik, yang menafikan pernah membuat laporan terhadapnya serta mengesahkan dakwaan bahawa pekerja MKLSB tidak dapat pulang beraya adalah benar.
Beliau mendakwa MCMC cuba merosakkan reputasi serta melabelnya sebagai perkauman dan penfitnah.
Shafiq juga berkata sedang menyusun bukti untuk membuat laporan kepada SPRM mengenai dakwaan salah laku konsesi Menara KL kepada syarikat Lim Seong Hai.
“Saya berterima kasih kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta MKLSB yang sedia beri bantuan guaman,” katanya.-SAHIH