SGG ubah hidup, dari susah jadi usahawan berjaya
SGG ubah hidup, dari susah jadi usahawan berjaya
TEMERLOH: Bermula dengan benih mahal, hasil lambat dan serangan tupai serta kumbang, seorang pengusaha kelapa di Kampung Lebu tidak pernah menyangka tanaman kelapa jenis Sungai Gulang-Gulang (SGG) mampu mengubah hidupnya.
Abu Hassan Abulah, 45, berkata dia mula menanam kelapa sejak 2018, namun tiga tahun pertama penuh dugaan apabila hasil tidak menjadi, buah rosak, dan terpaksa menanggung kos pagar serta penjagaan tinggi.
“Awal-awal memang susah. Benih mahal, pokok tinggi, tupai tebuk buah, kumbang serang pucuk. Tapi saya sabar, belajar dan usaha ikut tunjuk ajar persatuan,” katanya yang juga ahli Persatuan Usahawan Kelapa Malaysia.
Kini, hasil 500 pokok kelapa di atas tanah tujuh ekar, dia mampu menjual lebih 7,000 biji seminggu dan memperoleh pendapatan sehingga RM13,000 sebulan.
“Saya buat sendiri air kelapa, jeli, coconut shake dan jual terus kepada pelanggan termasuk di Restoran Lepak King. Dulu saya jual pada kawan-kawan je, sekarang semua saya urus sendiri,” katanya.
Katanya, keunikan kelapa SGG ialah saiz besar, isi tebal dan air manis. Dia turut menanam pokok pandan dalam kebun bagi mendapatkan aroma semula jadi.
![]()
“Saya juga bantu kawan-kawan lain. Jual benih, kongsi ilmu dan bantu mereka mula menanam. Kalau saya tak cukup bekalan, saya ambil daripada mereka,” katanya.
Abu Hassan berkata, dia menggunakan baja organik dan garam kasar setiap tiga bulan sebagai langkah kawalan serangga, dan mengelak penggunaan racun berbahaya.
“Bagi saya, kelapa ni ada masa depan. Kalau kita serius, usaha betul-betul, hasilnya sangat berbaloi,” katanya.-SAHIH
