SETENGAH JAM TERSEPIT DALAM VAN
GEORGE TOWN : Seorang pemandu van terpaksa menahan kesakitan hampir setengah jam akibat tersepit di dalam kenderaan itu yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Perodua Kancil di Jalan Perak, Jelutong di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa lelaki berusia 28 tahun tersebut dilaporkan mengalami kecederaan parah pada muka.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya yang tiba di lokasi kejadian sebaik menerima laporan kecemasan mendapati mangsa tersepit di tempat pemandu, manakala pemandu kereta terlebih dahulu dihantar ke hospital.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dilakukan dengan peralatan khas dan dia berjaya dikeluarkan pada pukul 1.40 petang.
“Difahamkan pemandu kereta yang belum dikenal pasti identitinya itu mengalami kecederaan pada kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor kosmo online
Tambahnya, mangsa yang tersepit telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang di sini untuk rawatan lanjut dan operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada pukul 1.47 petang.