SERBU PUSAT JUDI ONLINE
Berita Jenayah
SINDIKET GUNA BANGLO MEWAH UNTUK KABURI POLIS
KUANTAN: Polis berjaya menumpaskan sindiket perjudian online yang beroperasi di rumah banglo dua tingkat di kawasan perumahan mewah di Taman Pelindung di sini, sebagai pusat panggilan mereka.
Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, serbuan jam 9.30 malam Isnin lalu itu, turut membawa kepada penahanan tiga lelaki warga tempatan berusia antara 21 dan 27 tahun, yang dipercayai ahli sindiket perjudian itu.
“Kita percaya sindiket ini baru menjalankan kegiatan di sini sejak dua bulan lalu.. mereka sanggup bayar sewa RM2,000 sebulan kerana kawasan itu agak sunyi, berpagar dan ada pengawal keselamatan.
“Siasatan awal kita mendapati premis ini digunakan untuk aktiviti pengiklanan serta mempromosikan perjudian di media sosial seperti Facebook, WeChat, MiChat dan WhatsApp dengan menggunakan komputer,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Mohamad Noor berkata aktiviti perjudian itu dipercayai berlaku dengan pelanggan perlu membuat bayaran menerusi perbankan dalam talian, bagi mendapat kredit untuk berjudi, dan dipercayai melibatkan pertaruhan sekitar RM4,000 hingga RM7,000 sehari.
Sindiket itu dipercayai beroperasi 24 jam dengan menggunakan sistem giliran pekerja yang dibayar RM2,000 sebulan, selain dua daripada tiga suspek yang ditangkap didapati positif dadah ketamin.
Mohamad Noor berkata pihaknya juga merampas sembilan buah komputer dan 30 telefon bimbit dalam serbuan itu.
Semua suspek direman sehingga Jumaat ini (6 November) bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, kerana menjaga atau menguruskan rumah perjudian terbuka dan Seksyen 4(1)(g) akta sama iatu mempromosikan perjudian secara dalam talian.