Serambi Semantan jadi Lubuk rezeki
Serambi Semantan jadi Lubuk rezeki
TEMERLOH – Bermula secara kecil-kecilan dari rumah, seorang ibu kepada lima anak kini meraih pendapatan sehingga RM2,000 sehari hasil jualan kuih tradisional selepas menyertai platform niaga Serambi Semantan.
Itulah rezeki diraih Siti Maisarah Fauzi, 42, dari Kuala Krau, turut mengakui kehidupannya berubah selepas menyertai Kelab Usahawan Desa Daerah Temerloh, penganjur bazar khas untuk wanita desa.
“Sebelum ini saya buat kuih dan COD dari rumah ke rumah, kadang-kadang kena keluar jauh tetapi sekarang orang datang sendiri beli. Jualan saya naik mendadak, terutama musim perayaan,” katanya yang mula menyertai program itu tahun lalu.
Siti Maisarah antara lebih 250 usahawan wanita daerah ini yang kini aktif berniaga di Serambi Semantan.
Bazar itu beroperasi setiap Sabtu dengan kadar sewa serendah RM50 dan diberi percuma untuk ahli baharu.
Bagi Nusafia Latif, 39, dari Taman Temerloh Jaya yang menjual kek dan kerepek pedas, berkata peluang berniaga di situ membuka ruang luas selepas sekian lama bergantung kepada tempahan secara dalam talian.
“Sekarang pelanggan boleh tengok, rasa dan terus beli. Alhamdulillah, jualan meningkat dan saya mula dapat pelanggan tetap,” katanya.
Pengerusi Kelab Usahawan Desa, Mastura Abdul Malik, berkata platform itu diwujudkan bagi membantu wanita luar bandar – khususnya ibu tunggal dan golongan B40 sebelum ini tidak mempunyai akses kepada pasaran tetap, latihan mahupun peluang niaga.
![]()
“Kami sediakan bukan saja tapak berniaga, tapi juga bimbingan dari segi pensijilan halal, pembungkusan, promosi dan penyertaan dalam acara rasmi. Matlamatnya, nak lihat Serambi Semantan jadi macam Pasar Siti Khadijah versi desa,” katanya.
Tambahnya, lebih 50 produk tempatan kini dimasukkan dalam direktori rasmi usahawan desa untuk dipasarkan kepada pelancong serta agensi kerajaan.
Serambi Semantan bukan sekadar bazar, malah kini menjadi platform memperkasa wanita luar bandar ke arah kejayaan dalam dunia keusahawanan.-SAHIH
