Seramai 300 pemilik rumah Bandar Sungai Buaya
Foto atas : Saifuddin Shafi menyerahkan surat kelulusan hak milik individu kepada seorang pemilik rumah.
Seramai 300 pemilik rumah Bandar Sungai Buaya
RAWANG – Seramai 300 pemilik rumah terbabit dijemput hadir ke Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Hak Milik Individu berserta dengan Notis 5A yang telah diadakan di perkarangan Pejabat Operasi Murna Jaya Development Berhad (MJDB), Bandar Sungai Buaya, Rawang.
Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mohamad Hanafe Basri, berkata, Kerajaan Negeri Selangor melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Selangor serta Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS) sangat komited menyelesaikan isu tanah pembangunan Bandar Sungai Buaya bagi mempastikan pengeluaran geran hak milik individu kepada 3,580 pemilik rumah dapat
Dengan kelulusan hak milik itu yang akan disusuli pula dengan pengeluaran geran hak milik individu selepas ini, pemilik rumah bakal dapat melaksanakan urusan pindah milik, jual beli, pembahagian harta pusaka dan urusan lain dengan lebih mudah.
“Berbaki lagi 3,130 pemilk rumah, surat kelulusan hak milik individu akan disampaikan secara berfasa-fasa dan dijangka selesai menjelang bulan Mac 2023.
“Surat kelulusan hak milik individu itu diserahkan secara berperingkat-peringkat apabila 450 pemilik telah pun menerima surat kelulusan hak milik individu dalam tiga majlis penyerahan berasingan,” katanya di majlis itu.
Katanya, bermula pada 16 November 2022 bertempat di Dataran Niaga Serendah, 100 penerima dan kemudiannya pada 4 Disember 2022 seramai 50 penerima pula yang dilangsungkan bersempena program Jelajah Selangor Penyayang (JSP) di Persiaran As-Salam, Bukit Sentosa serta yang terbaru 300 penerima kali berkenaan.
Penyerahan surat kelulusan hak milik individu kali ini turut disempurnakan oleh Penyelaras DUN Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad yang mewakili Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, bersama-sama Mohamad Hanafe.
Turut hadir pada majlis berkenaan Jurutera Daerah Hulu Selangor, Ts Ahmad Faris Mohd Ghazali serta Pengarah Urusan MJDB, Sallehudin Ahmad dan Pengarah Eksekutif MJDB, Amirul Fahmi Ahmad.
Pada majlis itu, Saifuddin Shafi, berkata walaupun masih terdapat sebahagian besar pemilik masih belum menyelesaikan kos yang diperlukan, namun kecekapan pentadbiran Pegawai Daerah dan PTDHS berjaya merungkai isu berkenaan bersama pihak tuan tanah iaitu MJDB.
Jelas beliau, hasil persetujuan bersama, sebahagian besar kos telah diserap oleh MJDB dan penduduk pada hakikatnya hanya perlu membayar sekitar satu pertiga sahaja daripada kos yang sebenar.
“Inilah pentingnya penduduk memilih sebuah pentadbiran kerajaan yang memikirkan masalah rakyat secara holistik dan memikirkan penyelesaian sehingga ke akar umbinya,”katanya.
Sekretariat Gabungan NGO Bandar Sungai Buaya (GNBSB), Mahmod Mat Ali yang turut hadir pada majlis itu, berkata, GNBSB banyak memainkan peranan dengan menjadi pemudah cara antara pemilik rumah dan pengurusan MJDB dalam melancarkan urusan proses permohonan geran hak milik individu itu.
Tambahnya, GNBSB telah mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pihak MJDB dan setiap kali selepas pertemuan akan memberikan pencerahan kepada penduduk melalui 16 wakil NGO ahli gabungan GNBSB.
Beliau berkata, NGO terbabit memperjuangkan isu hak milik individu itu agak lama dan menghadapi pelbagai masalah kerana pemaju asal telah muflis, namun perkara berkenaan tidak mematahkan semangat untuk berjuang demi pemilik tanah terbabit.-SAHIH.