SERAMAI 223,386 MASIH BELUM MENDAFTAR UNTUK DIVAKSINASI DI PAHANG
SERAMAI 223,386 MASIH BELUM MENDAFTAR UNTUK DIVAKSINASI DI PAHANG
JERANTUT: Seramai 223,386 orang dewasa berusia 18 tahun ke atas di negeri Pahang masih belum mendaftar untuk divaksinasi Covid-19, manakala 793,749 atau 47.3 peratus sudah mendapat dos pertama dan 621,661 (37%) sudah lengkap divaksinasi daripada jumlah keseluruhan populasi di negeri ini.
Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, golongan yang belum mendaftar seramai 223,368 orang di negeri ini diharap mereka mendaftar dengan segera selain pihaknya berusaha mencari dan mengesan mereka.
“Oleh kerana masih ramai yang belum mendaftar berkemungkinan tidak mempunyai akses internet dan kemudahan lain, maka pihak kami giat mendekati golongan ini terutama di luar bandar dengan mengadakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach.
“Sebagai cara serampang dua mata, dengan kemudahan ini (Outreach), pergerakan orang ramai untuk mendapatkan vaksin tidak perlu bergerak jauh serta memberi kemudahan untuk yang belum mendaftar,”katanya semasa mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Padang Piol, hari ini.
Katanya, selain itu, kira-kira 382,000 penduduk yang belum disuntik, sebahagian daripada kumpulan ini belum mendaftar manakala sebahagian lagi hanya menunggu panggilan untuk disuntik,”katanya.
“Negeri Pahang mensasarkan rakyat negeri ini agar mendapat vaksin seramai mungkin dan kalau boleh melebihi 80 peratus bergantung kepada bekalan vaksin yang diterima.
“Kita turut meletakkan sasaran 100 peratus yang sudah mendaftar untuk mendapat suntikan dos pertama selewat-lewatnya menjelang hujung September ini,” katanya.
Katanya, Jabatan Kesihatan negeri Pahang dan seluruh Pusat Kesihatan Daerah (PKD) bekerja keras menangani pemberian vaksin dengan segera serta mendapat kerjasama daripada banyak pihak.
“Semoga seratus peratus daripada 1.175 juta yang layak disuntik akan menerima vaksinasi di negeri ini seiring dengan negeri-negeri lain.
“Kepada yang sudah menerima vaksin lengkap diharap sentiasa berjaga-jaga kerana anda masih boleh dijangkiti tetapi dengan risiko yang rendah berbanding yang masih belum divaksin,”katanya. SAHIH.