Seramai 162 peserta berkhatan gembira dan terima kasih kepada kerajaan Pahang
Seramai 162 peserta berkhatan gembira dan terima kasih kepada kerajaan Pahang.
LIPIS : Seramai 162 orang kanak-kanak di Lipis gembira dan bersyukur kerana kerajaan negeri Pahang turut membantu meringankan mereka untuk berkhatan sempena cuti sekolah yang bermula hari ini.
Murid Tahun Tiga, Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Yon, Tuan Mohamad Amir Ruzaimi Tuan Kechik, 11, berkata, dia tidak berasa gentar dan takut kerana dapat berkhatan beramai-ramai bersama rakan malahan lebih teruja kerana program itu meriah turut dihadiri Menteri Besar Pahang dan ditemani ramai ibu bapa.
“Sebelum berkhatan, kami menerima sumbangan Menteri Besar Pahang yang memberikan kata semangat dan meminta belajar bersungguh.
“Saya sudah bersedia untuk berkhatan dan bersemangat untuk belajar sehingga ke peringkat yang lebih tinggi dan akan bersedia menghadapi masa akan datang.
Rakannya, murid Tahun Empat SK Kampung Keledek, Muhammad Airil Danish Sani, 10, pula berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada Menteri Besar dan kerajaan negeri kerana membantu membiayai pengurusan berkhatan berkenaan.
“Bantuan ini dapat meringankan perbelanjaan ibu bapa saya khususnya membuat persiapan persekolahan keluarga kami tahun depan.
“Majlis berkhatan beramai-ramai itu dapat memberikan semangat dan motivasi kepada kami sekali gus menghilangkan perasaan takut sesetengah rakannya yang lain,” katanya.
Katanya, dia dan rakan-rakan lain berterima kasih kepada kerajaan negeri yang mengadakan program seperti itu sekali gus meringan perbelajaan ibu bapa masing-masing.-SAHIH.