LIOW SOON HEE SERAH SUMBANGAN BULANAN RM10,000
DERMAWAN MUDA, DATUK SERI NICKY LIOW SOON HEE SERAH SUMBANGAN BULANAN RM10 RIBU KEPADA PUSAT PENJAGAAN KANAK-KANAK TERENCAT AKAL MELAKA
MELAKA: Pertubuhan Integriti Nicky Liow Malaysia (PINLM) menyampaikan sumbangan bulanan RM10,000 kepada Pusat Penjagaan Kanak-kanak Terencat Akal Melaka, dekat sini, Rabu lalu.
Penyampaian sumbangan itu adalah kesinambungan kepada sumbangan berterusan PINLM bagi tujuan kebajikan sejak tahun 2016.
Majlis penyampaian sumbangan berkenaan turut dihadiri Pengerusi dan Pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.
Penasihat Eksekutif PINLM, Datuk John Lee Kim Tian mewakili Winner Dynasty Group menyampaikan sumbangan cek RM10,000 kepada pengendali pusat jagaan berkenaan, M Thomas.
Datuk John Lee Kim Tian (kiri) menyampaikan cek RM10,000 sumbangan PINLM kepada M Thomas
Selain wang RM10,000, pihak Winner Dynasty Group dan PINLM turut menyumbang barangan keperluan asas untuk kegunaan pusat jagaan terbabit.
Kim Tian dalam ucapan ringkasnya berkata, pihak Winner Dynasty Group dan PINLM akan terus komited dan konsisten memberikan sumbangan kepada pusat jagaan berkenaan, walaupun keadaan ekonomi semasa kurang memberangsangkan akibat gelombang ketiga COVID-19.
“Saya difahamkan ada pusat jagaan dan rumah kebajikan yang berdepan masalah (kewangan) berikutan terdapat NGO atau persatuan yang terpaksa mengurangkan sumbangan mereka kepada tempat seperti ini.
“Kami memberi jaminan bahawa pihak Winner Dynasty Group dan PINLM akan terus menyalurkan sumbangan seperti dijanjikan walaupun kita tahu dengan keadaan semasa ekonomi negara dan global akibat COVID-19 sejak awal tahun ini,” katanya dalam majlis yang diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.
Winner Dynasty Group dan PINLM turut menyumbangkan pelbagai barangan keperluan asas
Sejak tahun 2016, Winner Dynasty Group dan PINLM sudah menyalurkan sumbangan berjumlah kira-kira RM550,000 kepada Pusat Penjagaan Kanak-kanak Terencat Akal Melaka.
Sementara itu, M Thomas merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Winner Dynasty Group dan PINLM serta Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee kerana terus membantu pihaknya sejak empat tahun lalu.
Selain bantuan kepada Pusat Penjagaan Kanak-kanak Terencat Akal Melaka, Winner Dynasty Group turut menyalurkan pelbagai sumbangan lain sejak Mac lalu, antaranya mengagihkan kira-kira 11 juta pelitup muka percuma; hand sanitizer untuk diedarkan ke sekolah, warga penjara dan petugas barisan hadapan; warga media serta agensi kerajaan dan swasta serta masyarakat yang memerlukan.
Sumbangan ini juga mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records sebagai Penyumbang Terbesar di Malaysia.