TERSERAH KEBIJAKSANAAN YDP AGONG – ANWAR
Berita Nasional
SERAH PADA KEBIJAKSANAAN YANG DI-PERTUAN AGONG – ANWAR
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung dakwaannya memiliki majoriti sokongan Ahli Parlimen.
Presiden PKR itu yang menghadap Yang di-Pertuan Agong pagi ini mendakwa baginda akan menelaah terlebih dahulu dokumen diserahkannya dalam pertemuan pagi tadi, sebelum memanggil semua ketua parti politik.
“Alhamdullilah saya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk masuk menghadap.
“Saya mohon rakyat dan semua ahli politik tanpa mengira parti dan fahaman supaya bersabar.
“Kita serahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan yang terbaik untuk masa depan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadap baginda hari ini.
Pada 8 Oktober lalu, Anwar memaklumkan mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini dan beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya seperti dinyatakan ketika sidang medianya pada 23 September lalu.