SERAH KEBIJAKSANAAN AGONG
Berita Politik
SERAH KEBIJAKSANAAN AGONG
KOTA BHARU: PAS yakin Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpengalaman mengendalikan isu kepemimpinan negara.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata ini berdasarkan kuasa dan budi bicara baginda dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Setiap orang bebas untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong atas perkenan baginda,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, beliau mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa ini.
Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, beliau akan mempersembah keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya seperti dinyatakan ketika sidang medianya pada 23 September lalu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson juga meminta semua pihak untuk terus bertenang, susulan perkembangan semasa mengenai politik tanah air.
PAS mempunyai 18 kerusi Parlimen yang dimenangi menerusi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional bersama-sama Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak pada Februari lalu.