SEPAKAD ’25 Pacu Transformasi Program Akademik Hadapi Cabaran Generasi Alpha
Foto : Bangunan Suluh Budiman, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
SEPAKAD ’25 Pacu Transformasi Program Akademik Hadapi Cabaran Generasi Alpha
TANJONG MALIM : Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA), dengan kerjasama Institut Pengajian Siswazah (IPS) dan Pusat Pembangunan Akademik (PPA), menganjurkan Seminar Kebangsaan Hala Tuju Program Akademik 2025 (SEPAKAD ’25) di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Seminar yang bertemakan “Transformasi Program Akademik dalam Menghadapi Cabaran Generasi Alpha” itu menjadi medan penting dalam merangka masa depan program akademik negara secara menyeluruh dan inklusif, selaras dengan perubahan pesat landskap pendidikan tinggi global.
Majlis perasmian seminar akan disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, manakala ucaptama bakal disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran.
Menurut Pengarah Akademik dan Antarabangsa UPSI, Profesor Madya Dr. Ridzwan Che Rus, penganjuran SEPAKAD ’25 amat signifikan dalam menyahut cabaran pendidikan tinggi yang semakin kompleks, terutamanya dalam mendepani arus perubahan teknologi, kehendak pasaran kerja dan keunikan pembelajaran generasi Alpha.
“SEPAKAD ’25 bukan sekadar seminar akademik biasa. Ia adalah platform strategik untuk ahli akademik, pentadbir universiti dan pemegang taruh berkumpul serta menilai keberkesanan struktur program pengajian sedia ada. Kita juga mahu mencetus idea baharu yang lebih relevan dan mampan.
“Generasi Alpha, yang bakal mendominasi institusi pengajian tinggi dalam masa terdekat, mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza; lebih terdedah kepada teknologi, pembelajaran kendiri dan akses maklumat pantas,” katanya.
Katanya, kita perlu beralih kepada pendekatan modular, hibrid dan berorientasikan kemahiran masa depan, jika tidak, institusi pengajian tinggi berisiko menjadi tidak relevan dalam ekosistem pembangunan modal insan negara.
“Seminar ini juga akan memberi ruang kepada pembentangan hasil penyelidikan, perkongsian amalan terbaik serta perbincangan dasar dalam reformasi kurikulum akademik negara serta menggalakkan penyertaan aktif peserta dalam memberi cadangan dan idea bagi membentuk hala tuju baharu pendidikan tinggi.
“Antara skop utama yang akan dibincangkan dalam seminar ini termasuk, Inovasi dalam reka bentuk program akademik; Kebolehpasaran graduan dan Pengurusan program secara efektif dan inovatif,” katanya.
SEPAKAD ’25 juga membuka ruang kolaborasi antara ahli akademik, pentadbir universiti serta pemegang taruh industri dalam merangka masa depan pendidikan tinggi yang lebih inklusif, lestari dan berimpak tinggi.-SAHIH.