SEORANG MAUT, TIGA SELAMAT POKOK HEMPAP KERETA
SEORANG MAUT, TIGA SELAMAT POKOK HEMPAP KERETA
Jitra: Pemandu Proton Iswara Aeroback menemui ajal, manakala tiga penumpang lain terselamat selepas kereta yang dinaiki dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Sungai Korok, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada 4.20 petang, mangsa yang maut adalah lelaki berusia 51 tahun, manakala wanita berusia 43 tahun yang juga penumpang depan serta wanita berusia 42 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang berada di tempat duduk belakang tidak cedera.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 4.26 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra yang diketuai Mohd Fakrul Radzi Omar dihantar ke lokasi kejadian pokok tumbang itu.
“Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan terdapat sebatang pokok tumbang dan menghempap sebuah kereta di mana terdapat seorang lelaki dewasa yang tersepit.
“Tiga mangsa lagi yang turut berada dalam kereta itu tidak cedera dan berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam.
“Anggota bomba kemudian menggunakan gergaji berantai untuk memotong pokok terbabit sebelum berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut., lapor HM online
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Rodzi Abu Hassan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.
“Setakat ini saya dimaklumkan seorang maut dan saya akan beri maklumat lanjut berhubung kejadian ini sejurus siasatan dibuat,” katanya.