SEORANG MAUT DALAM TUNJUK PERASAAN ANTIKUDETA MYANMAR
SEORANG MAUT DALAM TUNJUK PERASAAN ANTIKUDETA MYANMAR
YANGON: Sekurang-kurangnya seorang penunjuk perasaan antikudeta terbunuh, hari ini ketika peserta demonstrasi di seluruh Myanmar terus cuba membantah pemerintahan tentera.
Situasi itu tercetus sehari selepas sekumpulan Ahli Parlimen yang dilucutkan jawatan dan bersembunyi, mendesak orang ramai untuk memerangi keadaan paling hitam negara berkenaan.
Seorang doktor tempatan yang enggan namanya disiarkan berkata, Kyaw Lin Hteik meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
“Dia mempunyai luka tembakan di dada kanan dan kehilangan banyak darah, manakala tiga lagi individu mengalami kecederaan kerana ditembak dengan peluru getah.
“Mereka yang cedera terpaksa dipindahkan ke Myitkyina kerana hospital di sana mempunyai lebih kelengkapan,” katanya.
Berdasarkan kumpulan pemantau tempatan, lebih 80 orang dilaporkan terbunuh susulan tindakan tentera Myanmar terhadap peserta demonstrasi, lapor AFP.
Meskipun angka kematian semakin meningkat, peserta penunjuk perasaan, termasuk meliputi penjawat awam dilihat masih turun ke jalanan dengan memegang poster Aung San Suu Kyi.
GAMBAR IHSAN AFP
Dua lelaki terbunuh, awal pagi semalam di Thaketa, selepas penunjuk perasaan berkumpul di balai polis bagi mendesak pembebasan penduduk yang ditahan.
Media, New Light of Myanmar berkata pasukan keselamatan melepaskan beberapa das tembakan amaran bagi menyuraikan orang ramai.
Selain itu, katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung kematian dua lelaki berkenaan.
Pemangku Naib Presiden Jawatankuasa Perwakilan Pyidaungsu Hluttaw (CRPH), Mahn Win Khaing Than, semalam pula menyifatkan Myanmar ketika ini berada di dalam situasi terburuk, namun sinar baharu menanti sekiranya semua pihak terus bersatu.
“Ini masa yang menguji rakyat kita untuk mengukur sejauh mana anda semua mampu berdepan situasi terburuk.
“Kita akan terus merintis usaha menerusi CRPH… bagi merangka draf berkaitan perundangan untuk rakyat melindungi diri mereka sendiri.
“Kebangkitan semula ini juga peluang untuk berpadu tenaga bagi menubuhkan kesatuan demokrasi persekutuan,” katanya dalam rakaman ucapan yang dimuat naik di Facebook CRPH.
Sama seperti rakan Suu Kyi yang lain, Khaing Than diarah menjalani perintah tahanan di rumah ketika peralihan kuasa pada 1 Februari lalu.