SENI KANVAS BERNILAI JUTAAN RINGGIT HASIL PELUKIS TERKEMUKA DATUK IBRAHIM HUSSEIN
SENI KANVAS BERNILAI JUTAAN RINGGIT HASIL PELUKIS TERKEMUKA DATUK IBRAHIM HUSSEIN
KUALA LUMPUR: Seni akrilik pada kanvas bernilai jutaan ringgit yang dihasilkan pelukis terkemuka, Datuk Ibrahim Hussein pada 2006 akan menjadi karya utama pada acara bidaan Henry Butcher Art Auctioneers (HBAA) Malaysia dan Asia Tenggara di Galeri Prima, Balai Berita, Bangsar di sini, pada 21 Mac ini.
Acara bidaan yang akan berlangsung dari jam 1 hingga 4 petang itu akan turut menampilkan karya Abdul Latiff Mohidin berjudul Voyage Rimbaud II dihasilkan antara 2003 dan 2004 dengan tawaran harga dianggarkan antara RM360,000 dan RM520,000 serta karya Awang Damit Ahmad berjudul Apa Khabar Ledang dari siri Essence of Culture dengan anggaran RM200,000 dan RM300,000.
HBAA memaklumkan, acara prebiu karya lelongan itu akan diadakan dari 11 hingga 20 Mac ini, bermula jam 10 pagi hingga 6 petang (kecuali cuti umum) di Galeri Prima.
Karya lain yang akan ditawarkan untuk bidaan adalah yang dihasilkan Yusof Ghani bertajuk Siri Tari yang ditawarkan bermula RM80,000 hingga RM140,000 dan karya Khalil Ibrahim bertajuk Reflections (IX) pada 1980 dengan anggaran RM95,000 hingga RM140,000.
Selain itu, HBAA memaklumkan, karya Noor Mahnun Mohamed yang berjudul A Song For Two pada 2000 (anggaran RM90,000-RM160,000) akan turut menjadi karya lelongan pada acara itu, yang mana hasil karya beliau bertajuk Am Abend pada 1993 terjual pada harga RM235,200 dalam acara lelongan HBAA pada 2018.
“Bahagian batik pula menawarkan karya agung oleh Datuk Chuah Thean Teng berjudul Bestowment pada 1970-an (anggaran RM30,000-RM 60,000) dan Kampung Life pada 1960-an (anggaran RM12,000-RM 22,000).
“Lukisan batik lain termasuk karya oleh Tay Mo Leong, Lee Kian Seng dan M Sukri Derahman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
HBAA berkata, lukisan gaya Nanyang yang menghubungkan tradisi seni Timur dan Barat pada acara itu merangkumi hasil karya Yong Mun Sen (Bapa Seni Malaysia), Lee Cheng Yong, Kuo Juping, Khaw Sia dan Chia Yu Chian, serta Tew Nai Tong.
“Sementara itu, bahagian seni kontemporari dibarisi karya ikonik daripada Ahmad Zakii Anwar, Zulkifli Yusoff, Hamir Soib, Kow Leong Kiang, Jalaini Abu Hassan, Nadiah Bamadhaj, Chong Ai Lei, Ahmad Shukri Mohamed, Yusof Majid, Yeoh Choo Kuan dan lain-lain.
“HBAA juga menampilkan karya pelukis Asia Tenggara terdiri daripada artis seperti Chen Wen Hsi, Cheong Soo Pieng, Tay Bak Koi dan Goh Beng Kwan (Singapura); U Lun Gywe, Min Wae Aung, Tin Maung Oo, Zaw Zaw Aung dan Sandar Khaing (Myanmar); Dang Xuan Hoa dan Vu Nhu Ha (Vietnam); Angki Purbandono, Erica Hestu Wahyuni dan Ridwan Nur (Indonesia) serta Emmanuel Santos (Filipina), lapor BH Online.
“Bagi kategori artis muda yang sedang berkembang, karya yang akan ditampilkan adalah daripada Gan Tee Sheng, Ismail Awi, Shafiq Nordin, Husin Othman dan Raimi Sani,” katanya.
Maklumat lanjut, hubungi Sim Polenn di talian 016-2733628 atau Elizabeth Wong di 013-3556578 atau layari www.hbart.com.my.